Zahid sekolahkan Pas, ungkit nasib APU dan Semangat 46

Zahid sekolahkan Pas, ungkit nasib APU dan Semangat 46

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini membangkitkan kembali nasib Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 ketika mengingatkan rakan politiknya.

Tanpa menyebutkan nama Pas, Presiden Umno itu berkata, pembentukan gagasan Muafakat Nasional (MN) bukannya mudah.

“Justeru, saya berharap rakan politik Umno dalam Muafakat Nasional berfikirlah sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat Nasional yang asli.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan ‘genuine’,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Untuk rekod, APU yang bubar secara rasmi selepas Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) disertai Pas, parti serpihan Umno Semangat 46, Berjasa, Hamim dan Kongres Muslim India Malaysia (Kimma).

Dalam catatan sama, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pelbagai kejayaan dilakar bersama Pas dan Umno sejak Piagam MN dimeterai pada 14 September 2019.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan tentang “Muafakat Nasional yang sebenar” yang telah mendapat keyakinan rakyat tetapi kini sudah berubah hati.

“Mereka (rakyat) percaya kepada Muafakat Nasional yang itu, bukan yang ini.

“Kerana sinergi yang terbentuk antara Umno dan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas,” katanya lagi.

Beliau turut menyertakan pautan laporan berita bertarikh 5 April 2019 yang memetik Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kemungkinan muafakat Pas dan Umno boleh memenangi 132 kerusi Parlimen.

Kenyataan terbaharu Zahid itu dilihat susulan sikap Pas yang masih terus “bermain dua kolam” dengan pendirian terus mengekalkan hubungan dengan Bersatu dan Umno.

Pas diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai gabungan politik Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu iaitu musuh Umno.

Dalam masa yang sama, Pas dengan tiga pemimpinnya sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin masih mengekalkan hubungan dengan MN.

Walhal, Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini telah memuktamadkan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Bersatu dan PN sebaik PRU15 bermula.

Namun, pemimpin Pas dilihat terus mengambil sikap untuk bekerjasama dengan Umno dan Bersatu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, partinya bersikap untuk berdamai dengan Umno dan Bersatu walaupun kedua-dua parti itu tidak saling bekerjasama pada PRU15.

“Kita ikut pendirian yang ditetapkan presiden, kita tetap lakukan usaha damai sebab berdamai sangat penting untuk kebaikan ummah dan perpaduan,” kata Pesuruhjaya Pas Kelantan tersebut hari ini.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/zahid-sindir-pas-ungkit-nasib-apu-dan-semangat-46/