Warkah dari IJN mungkin ditulis dalam keadaan dibius atau makan ubat penenang, sindir Zulhazmi

Ada warkah katanya diutus keluar dari IJN.

Baca perenggan pertama lagi aku dah rasa kelakar. Kat IJN tak ada cermin ka sampai tak tengok langsung cermin tu sebelum menulis. Mohon kakitangan IJN bagi cermin sekeping untuk dia lihat dalam cermin itu dulu.

Katanya :

“Pas terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.”

Frasa yang menarik ialah “yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat”

Saya malas nak ulas lebih-lebih. Mungkin dia menulis dalam keadaan dibius atau baru lepas makan ubat penenang. Saya maafkan dia.

Dia sambung perenggan kedua :

“Setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, Pas yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana Pas meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.”

Menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal kerana meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan”

Adoi Bang Aji…

Peranan apa yang Menteri Pas buat?

1) Undang-undang? Apa yang dibuat untuk rakyat?
2) Alam Sekitar?
3) Sawit?

Sambung perenggan ke-3 dan ke-4:

“Secara khusus, Pas memahami keadaan darurat pandemik Covid-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara.

Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi. Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana Covid-19 yang sebegini rupa.”

Secara tidak semena-mena, Umno Terengganu nafi pergolakan Kerajaan Terengganu itu berkait siapa? DAP ada ke di Terengganu? Bertukar MB di Perak kerja siapa?

Sudah-sudahlah Bang Aji oi… baik rehat elok-elok kat IJN tu. Tak payah la risau apa di luar ni. Jaga kesihatan dulu.

Paling hebat tajuk warkah tu ialah “PAS BERISTIQAMAH BERSAMA PERDANA MENTERI”.

Istiqamah dengan PM ka PN? Tak sebut pulak PM yang mana. Kalau tiba-tiba ada PM baru macam mana?

Sekian, dari rumah bukan dari wad.

Berikut kenyataan media Presiden Pas hari ini:

PAS BERISTIQAMAH BERSAMA PERDANA MENTERI

PAS terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.

Setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, PAS yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana PAS meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.

Secara khusus, PAS memahami keadaan darurat pandemik COVID-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara.

Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi. Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana COVID-19 yang sebegini rupa.

Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal daripada bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat.

Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA juga menegaskan:

‌إنَّ ‌اللَّهَ ‌يَزَعُ ‌بِالسُّلْطَانِ ‌مَا ‌لَا ‌يَزَعُ ‌بِالْقُرْآنِ.

“Allah memberikan kuasa kepada pihak yang berkuasa untuk bertindak dalam apa-apa perkara yang tidak disebutkan oleh al-Quran.”

Bertindak dengan tegas tanpa perasaan waswas, kerana waswas itu datangnya daripada syaitan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Dari Jendela Institut Jantung Negara (IJN).

Bertarikh: 28 Syawwal 1442 / 9 Jun 2021

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/warkah-dari-ijn-ditulis-tanpa-langsung-lihat-cermin/