Usul undi tidak percaya hanya ‘helah’ pihak tertentu – PKR

PKR menyifatkan alasan usul undi tidak percaya apabila Parlimen kembali bersidang nanti adalah tidak relevan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata alasan itu cuma ‘helah’ yang dilihat cubaan untuk melambat-lambatkan persidangan Parlimen secepat mungkin seperti dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata sekiranya terdapat usul tidak percaya sekalipun, kerajaan ada ‘kuasa’ untuk meletakkan perkara itu ke belakang dalam senarai Aturan Urusan Mesyuarat di Dewan Rakyat.

“Kalau ada isu undi tidak percaya atau percaya, bila Parlimen bersidang secara teknikal… pihak kerajaanlah yang menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat. Bila kita rujuk tarikh terakhir Parlimen bersidang pada 17 Disember, dalam arkib Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen untuk Dewan Rakyat, kita boleh lihat pada hari itu ada sekurang-kurangnya 20 hingga 25 usul undi tak percaya dan dua usul undi percaya.

“Tetapi apabila dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat, pihak kerajaan meletakkannya di belakang. Jadi, tak timbul isu pun dan memang kalau kita lihat dari segi urusan di Parlimen, urusan kerajaan didahului. Jadi tidak timbul sebarang isu. Bagi saya, undi percaya atau tidak percaya itu hanyalah satu helah untuk melengahkan dari sidang Parlimen diadakan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

16 Jun lalu, Seri Paduka menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara dan perbahasan Ordinan Darurat 2021 oleh Ahli Dewan Rakyat.

Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pula dilaporkan berkata, Raja-Raja Melayu antara lain sependapat tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

Justeru, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai meminta kerajaan supaya tidak perlu lagi tunggu Seri Paduka menzahirkan sebarang kenyataan mengenai pembukaan sidang Parlimen.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan perlu segera menasihati Seri Paduka untuk memanggil sidang Parlimen.

“Kalau kita lihat ini bukan kali pertama Tuanku bertitah mengenai keperluan adanya sidang Parlimen. Ini kali kedua.

“Kali pertama pada 24 Februari lalu dan kali kedua pada 16 Jun, ” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/829710/undi-percaya-tidak-percaya-tak-relevan-pkr