Sindiket : 3 lagi ejen pekerja asing ditahan

Tiga ejen pekerja asing ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan ke atas sebuah sindiket imigresen.

Sumber memberitahu FMT, 3 individu berusia 30 hingga 66 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan memalsukan cop kemasukan dan keluar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta klia2.

Tiga individu itu, dengan seorang daripadanya ialah peguam, ditahan di sekitar Kuala Lumpur petang semalam.

Ketiga-tiganya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Ini menjadikan 59 orang ditahan SPRM setakat ini dalam sebahagian daripada Ops Selat, termasuk 34 pegawai imigresen, 15 ejen pekerja asing dan 10 orang awam yang disyaki berperanan sebagai “keldai akaun”.

Minggu lalu, seorang timbalan pengarah imigresen yang ditempatkan di KLIA ditahan SPRM.

Sebelum ini, sindiket itu, yang aktif sejak setahun lalu, dilaporkan membantu majikan yang mahu pekerja asing mereka terus kekal di negara ini atau pulang ke negara asal.

Sindiket itu mempunyai 2 modus operandi, dengan yang pertama ialah mengeluarkan “pasport terbang” kepada mereka yang datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, tetapi bekerja di sini secara haram.

Ejen akan mengumpul pasport pekerja asing dan membayar pegawai imigresen untuk cop pasport mereka bagi menunjukkan mereka sudah keluar negara selepas 3 bulan dan masuk semula secara sah. Dengan cara ini mereka boleh berada di sini selama 3 bulan lagi.

Modus operandi ke-2 ialah “kaunter setting” bagi pendatang asing yang disenaraihitamkan atas kesalahan imigresen, di mana pendatang asing itu akan ke “kaunter setting” di KLIA dan membayar sehingga RM6,000 untuk dibenarkan keluar negara, walaupun disenaraihitamkan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/25/3-ejen-pekerja-asing-ditahan-dalam-siasatan-sindiket-imigresen/