Vaksin Covid-19 tidak boleh dipilih pilih mengikut permintaan penerima vaksin, kata Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga itu berkata, jika dibenarkan keadaan sedemikian berlaku, ia akan menyebabkan sebahagian vaksin mendapat permintaan tinggi dengan sebahagian lagi tidak dapat dihabiskan.
Beliau merujuk kepada vaksin jenis AstraZeneca di mana ketika ini kebanyakan rakyat ragu-ragu dengan tahap keselamatan vaksin berkenaan.
“Oleh kerana pada awalnya banyak berita-berita negatif berkenaan vaksin AstraZeneca ini, ia menimbulkan persepsi bahawa orang tak nak vaksin ini.
“Tapi kita semua bersetuju bahawa tidak sepatutnya orang ramai memilih vaksin, kerana ini akan menyukarkan keadaan sebab kita nak kena seimbangkan bekalan dan permintaan.
“Kalau kita biarkan pemilihan ini, maka kita akan kekurangan vaksin jenis tertentu dan kemudian kita akan ada masalah untuk menghabiskan vaksin sedia ada,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Selangor Task Force Covid-19, semalam.
Pada masa sama beliau menegaskan, sukar untuk negara mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus sekiranya terpaksa memenuhi permintaan rakyat Malaysia yang mahu memilih jenis vaksin.
Menurutnya, rakyat Selangor berisiko tinggi terhadap virus Covid-19 dan menggesa agar semua pihak sedar akan kepentingan mendapatkan suntikan imunisasi berkenaan.
“Dalam 100 orang, kita memerlukan 80 orang penerima vaksin untuk mencapai status imuniti kelompok. Dengan itu, barulah kita dapat melindungi mereka yang tiada vaksin terutama kanak-kanak.
“Mereka perlu sedar, tidak semua rakyat boleh menerima vaksin. Mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah tak boleh terima vaksin lagi. Bukan tak selamat untuk mereka, tapi kajian ke atas lingkungan umur ini belum menyeluruh. Jadi kita tangguh sehingga ada data lebih baik, baru kita bagi.
“Mereka kena ingat kalau dewasa tak ambil vaksin, kanak-kanak juga tak boleh dilindungi,” katanya lagi.
Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/bekalan-terhad-rakyat-tidak-dibenar-memilih-vaksin/