Setelah ditangkap Polis, PKR tidak teragak-agak akan ambil tindakan tegas terhadap Iswardy

PKR mengancam dan tidak teragak-agak untuk memecat keahlian pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni selepas beliau membuat kenyataan yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Iswardy sama sekali tidak mewakili PKR kerana parti itu menjunjung dan mempertahankan institusi Raja-raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaannya.

“Ucapan beliau di dalam video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang dalam (mesyuarat) Biro Politik PKR.

“Keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepada beliau.

“Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk memecatnya sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama,” katanya dalam kenyataan, selain memaklumkan Iswardy hanya merupakan ahli biasa dan tidak memegang sebarang jawatan dalam hierarki pimpinan PKR Sarawak atau pusat.

Fahmi berkata, memandangkan isu video itu kini menjadi kes polis, PKR akan menunggu hasil siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.

Terdahulu, polis dilaporkan sedang mengesan Iswardy berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Sultan Abdullah.

Kenyataan berkenaan didakwa dibuat menerusi video secara langsung di laman YouTube miliknya semalam, lapor Mingguan Malaysia.

Dalam video bertajuk “Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun” itu, Iswardy dikatakan melontar beberapa tuduhan secara sinis dan kesat terhadap Sultan Abdullah berhubung wabak Covid-19.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/30/dakwaan-hina-agong-pkr-ancam-pecat-keahlian-iswardy/