Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaludin sepatutnya memberikan fokus untuk menghasilkan vaksin negara Malaysia sendiri sesuai dengan nama kementeriannya, bukannya membeli vaksin dari pihak lain.
Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, apa yang berlaku sekarang di mana kementerian Khairy terlibat membeli vaksin, Kementerian Kesihatan pula mengedarkannya.
“Ini satu hal yang tidak kena. Kenapa dua kementerian perlu untuk uruskan vaksin, satu beli satu edar.
“Sepatutnya Kementerian Khairy tumpu untuk membuat vaksin kita sendiri kerana kita ada kemudahan itu bukan membuat kerja yang boleh dibuat oleh KKM,” kata bekas pensyarah perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum menyertai politik itu dalam sidang media khas hari ini.
Dr Mariah berkata demikian dalam sidang media khas yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat di sebuah hotel dekat Kampung Baru hari ini.
Dalam sidang media itu, Dr Mariah juga membangkitkan kesukaran Selangor Task Force fof Covid-19 (STFC) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk menjalankan fungsinya bagi membantu melawan wabak ini.
“Kami tidak diberikan data oleh KKM untuk digunakan dalam menjalankan kerja-kerja kami.
“Kami berharap, bila dah ada darurat, kerajaan boleh menggunakan darurat untuk berkongsi data itu bagi memerangi Covid-19, tetapi itu tidak berlaku.
“Jadi apa fungsi darurat ini untuk melawan Covid-19 kalau itupun tidak boleh dilakukan,” kata beliau.
Malaysia akan menerima 32 juta dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin 8 Mac lalu.
Beliau berkata, pemerolehan itu akan dimuktamad selepas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menandatangani perjanjian dengan syarikat itu.
“Menteri Kesihatan, selepas rundingan dengan Pfizer, akan menandatangani tambah bekalan. Pfizer akan membekalkan 32 juta dos atau 50 peratus daripada populasi atau penduduk di negara kita,” kata Khairy yang menimbulkan lagi tandatanya, apa peranan kementerian Khairy ini sebenarnya.
Berita penuh : https://malaysiadateline.com/khairy-patut-tumpu-buat-vaksin-kita-sendiri-bukan-beli-kata-exco-kesihatan/