Selangor sumbang RM2 juta kepada 3 negeri dilanda banjir

Selangor beri sumbangan sebanyak RM2 juta kepada 3 negeri yang dilanda banjir baru-baru ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata bantuan itu diberikan kepada Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

“Bagi menyantuni jiran-jiran tetangga kita, kerajaan negeri bersedia menghulurkan sumbangan bantuan banjir #KitaSelangor berjumlah RM1 juta untuk negeri Pahang.

“Rakyat Kelantan dan Terengganu masing-masing akan turut menerima Sumbangan Bantuan Banjir berjumlah RM500 ribu,” katanya dalam pengumuman khas pakej #KitaSelangor di Facebook.

Sebelum ini, Pahang, Kelantan dan Terengganu antara negeri terjejas akibat banjir.

Berdasarkan maklumat terkini, Sabah masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, manakala keadaan di Pahang dan Sarawak semakin pulih apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan pagi ini.

Pada 17 Jan lalu banjir di Johor bagaimanapun tidak berubah, dengan jumlah mangsa kekal 93 orang melibatkan 23 keluarga ditempatkan di dua PSS, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma kepada 50,000 rakyat negeri itu.

Katanya, program itu akan memfokuskan kepada golongan sasar seperti warga emas berisiko tinggi, khususnya lebih berusia di Pusat Penjagaan Warga Emas dan Pusat Hemodialisis seluruh Selangor, golongan berpendapatan rendah (B40) dan mahasiswa anak Selangor.

“Perincian berkenaan hal ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Bantuan makanan

Amirudin berkata, Selangor juga memperuntukan RM3 juta untuk meneruskan pemberian bantuan makanan kepada semua 9,822 petugas perubatan di hospital dan pejabat kesihatan daerah seluruh negeri.

Katanya, peruntukan itu termasuk kepada 3,500 anggota polis dan tentera yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR).

Beliau berkata, Selangor turut memperuntukan RM1.3 juta untuk pemberian bakul makanan kepada golongan terjejas di negeri itu.

Katanya, sumbangan barangan keperluan harian diberikan kepada pemandu teksi, pemandu bas sekolah, penyewa projek perumahan rakyat (PPR), pemandu lori sisa pepejal kendalian Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) dan orang Asli. – MK