RCI kartel daging terus menyepi setelah sebulan – Salahuddin

Bekas Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendesak Perdana Menteri mengesyorkan segera penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk selesaikan isu kartel daging ini.

“Saya bersedia bekerjasama,” kata Salahuddin menerusi Twitter beliau ekoran satu laporan polis dibuat ke atas dakwaan beliau ditawarkan percutian mewah ke Eropah oleh kartel daging ini.

Isu kartel daging mula panas ketika Salahuddin menjadi Menteri Pertanian dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Antara yang didakwa terlibat adalah pegawai kanan kerajaan dan antara mangsanya sebelum ini adalah bekas Setiausaha Politik Salahuddin sendiri yang didakwa salahlaku sehingga ditahan oleh SPRM.

Namun selepas empat hari disiasat SPRM beliau dibebaskan tanpa sebarang dakwaan.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan pada 29 Disember 2020 lalu.

Namun selepas lebih sebulan berlalu, tidak ada sebarang pengumuman penubuhan RCI ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga bersetuju dan menyokong penuh penuh cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah menurut beliau, satu Jawatankuasa Perundangan Khas Halal juga telah ditubuhkan.

“Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang mencadangkan untuk menubuhkan RCI. Kita menyokong penubuhan tersebut kerana dapat mendedahkan siapa sahaja yang bertanggungjawab kepada permasalahan ummah hari ini.

“Ada yang mengatakan kita cuba melindungi seseorang atau VIP. Pada kita, kerajaan telus dan prihatin. (Mereka) yang salah tetap akan salah, yang benar tetap benar,” katanya.

Semalam timbul lagi isu ini apabila media melaporkan, satu laporan polis dibuat ke atas Salahuddin berikutan dakwaan beliau ditawarkan percutian mewah ke Eropah oleh kartel daging ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan Salahuddin itu kalau ada laporan mengenainya.

“Sekiranya pendedahan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub bahawa beliau pernah menerima tawaran percutian mewah daripada syarikat pengimport daging ketika menjadi menteri itu benar-benar berlaku, sewajarnya beliau tampil membuat aduan kepada SPRM,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu semalam.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/selepas-sebulan-mana-rci-kartel-daging/