Polemik ‘perbalahan’ 2 Menteri Kanan, apa kesudahannya?

Apakah wujud perbalahan antara Ismail Sabri Yaakob dan Mohamad Azmin Ali yang disifatkan antara tonggak utama dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin?

Persoalan itu kini menjadi polemik, lebih-lebih lagi susulan perkembangan semalam dan kenyataan dua menteri kanan itu hari ini.

Hari ini, Ismail berkata segala rungutan awam mengenai kebenaran syarikat untuk beroperasi semasa PKP3.0 harus dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Tidak lama selepas itu, Azmin selaku menteri MITI menegaskan kementerian itu bukan satu-satu pihak yang meluluskan permit berkenaan tetapi sekadar mengeluarkan surat kebenaran selepas kementerian berkaitan meluluskannya.

Percanggahan dalam kenyataan itu dilihat mencerminkan pertikaian melibatkan sesama menteri kanan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin.

Ia menyusul laporan perkelahian panas tercetus melibatkan bebeberapa menteri pada mesyuarat mereka awal minggu ini. Perbalahan itu berhubung pengumuman MITI meluluskan lebih 95,000 syarikat untuk beroperasi walau pun semasa “lockdown”.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin dikritik kerana membenarkan begitu banyak sektor terus beroperasi meskipun digesa melaksanakan “lockdown” penuh seperti yang dibuat bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

FMT difahamkan menteri yang terbabit dalam “perkelahian” pada mesyuarat itu adalah Ismail, yang juga menteri kanan pertahanan, dan Azmin, menteri kanan untuk ekonomi.

Spekulasi bertebaran dua menteri kanan itu bertikam lidah, lebih-lebih lagi setelah Ismail mengatakan “saya dah tutup pintu depan tapi…,” disusuli emoticon menangis di Facebooknya semalam.

Catatan tersebut turut melampirkan gambar beliau, dengan pelitup muka, menutup pintu pejabat Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun, Ismail hari ini berkata beliau hanya menulis sedemikian sebagai tanda hendak pulang ke rumah selepas selesai tugasan harian.

Namun hari ini, pada satu majlis, jawapan Ismail kepada persoalan berhubung kecelaruan pelbagai pihak mengenai operasi perkhidmatan perlu (essential services), hanya menambah spekulasi yang bertebaran itu.

Ismail berkata segala persoalan mengenai kebenaran beroperasi harus dirujuk kepada kementerian Azmin.

“Saya susah nak jawab (rungutan awam itu) sebab kita sudah menyerahkannya kepada MITI, jadi MITI boleh jawab,” kata Ismail.

Bagaimanapun, Azmin, dilihat menempelak jawapan Ismail itu, apabila menegaskan keputusan menentukan sesuatu sektor itu perkhidmatan perlu atau tidak, bukan ditentukan oleh MITI sahaja.

Apa pun, seorang menteri berkata, jawapan yang tidak sehaluan melibatkan dua menteri itu tidak baik untuk imej kerajaan.

Beliau memberitahu FMT, kerajaan harus dilihat konsisten dalam mesej yang disampaikan kepada rakyat.

“Contohnya, (PKP3.0) bukan ‘total lockdown’, jadi kita tidak patut merujuknya sebegitu. Kita sebagai menteri mempunyai tanggungjawab kolektif. Kita perlu mempamerkan solidariti dalam memerangi Covid-19. Kita tidak boleh bekerja secara silo (berseorangan) untuk kepentingan politik,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/03/selepas-hentak-meja-dan-tuding-jadi-menteri-digesa-rapat-saf/