Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sebulat suara mengangkat pengerusinya, Anwar Ibrahim, mengetuai jentera gabungan itu bagi PRU15, sekali gus menjadi calon perdana menteri bagi PH.
Dalam kenyataan “Ketetapan Port Dickson”, gabungan itu juga mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan menamatkan darurat.
“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PH dalam mendepani PRU15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah Negara dengan amanah, demokratik dan adil,” menurut kenyataan itu.
Menerusi ketetapan hasil daripada pemukiman pimpinan PH di Port Dickson yang tamat hari ini, gabungan itu juga memutuskan untuk terbuka kepada rundingan dan kerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi.
“Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH,” katanya.”
PH akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada rakyat berkait pendirian dan tawaran PH menyentuh isu ekonomi rakyat, kestabilan politik, dan krisis pandemik Covid-19.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/09/anwar-ketuai-jentera-pru15-calon-pm-ph/