Pengumuman PKP : Rakyat Terengganu serbu pasar raya

Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri termasuk Terengganu selama 14 hari bermula Jumaat ini menyebabkan beberapa pasar raya di sini diserbu orang ramai sejak petang tadi.

Tinjauan di Sabasun Hyperruncit mendapati orang ramai beratur panjang bagi urusan pembayaran di 12 kaunter yang disediakan di pasar raya berkenaan, malah perlu menunggu giliran untuk mendapatkan troli.

Rata-rata pengguna memberi alasan sama iaitu tidak mahu keluar ke pasar raya berulang kali apabila PKP dilaksanakan, Jumaat ini.

Pengurus Sabasun Hyperruncit, Mohd Azuan Sa’ad berkata, pihaknya tidak menyangka berlaku belian panik susulan pengumuman itu PKP.

Katanya, berdasarkan kehadiran pengunjung malam ini, pihaknya mengambil keputusan untuk melaksanakan prosedur operasi standard lebih ketat bermula esok bagi mengelak kesesakan.

“Berdasarkan keadaan malam ini, tidak mustahil jumlah pengunjung melebihi pada hari biasa dan kita akan memperketatkan jumlah kemasukan dalam satu-satu masa bagi mengelak kesesakan,” katanya. –BH