Pemimpin Umno mula salahkan Peguam Negara pula

Umno

Pemimpin Umno mula salahkan Peguam Negara pula. Pengekalan Idrus Harun sebagai peguam negara kerajaan Ismail Sabri Yaakob hanya akan menimbulkan “huru-hara” dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan negara, kata veteran Umno, Shahrir Samad.

Shahrir berkata, meskipun perdana menteri sudah bertukar namun masih wujud ‘falsafah politik Perikatan Nasional (PN)’ yang tidak mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Selagi Idris Harun dikekalkan sebagai Peguam Negara, akan terus huru-hara sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan negara kita.

“Falsafah politik PN yang ikut sedap hati sendiri dan bukan ikut semangat berperlembagaan masih hidup segar walaupun PM sudah bertukar,” katanya dalam kenyataan.

Shahrir mengulas pendirian baharu Idrus membayangkan tidak ada keperluan membentangkan usul undi percaya kepada Ismail di Parlimen kerana pelantikan beliau oleh Yang di-Pertuan Agong menepati keperluan perlembagaan dan baginda mempunyai hak mutlak berbuat demikian.

 Umno

Bagaimanapun Idrus tidak mengulas titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri bahawa perdana menteri ke-9 yang dilantik harus segera memperolehi keabsahaan jawatan yang disandangnya secepat mungkin di Parlimen.

Shahrir berkata kenyataan Idrus mengenai isu keabsahan itu tidak memeranjatkan, berdasarkan beberapa pendirian beliau sebelum ini turut dipertikaikan.

Shahrir berkata, ketika darurat diisytiharkan oleh kerajaan PN, Idrus tidak berasa “kekok pun” meskipun Parlimen digantung dan tidak benar bersidang.

Malah, ujarnya sewaktu Azalina Othman yang ketika itu Timbalan Speaker merujuk soal ini, Idrus tetap tidak memberikan apa-apa jawapan “sehinggalah Yang di-Pertuan Agong (YdPA) pula “terpaksa menegur kejanggalan ini.”

“Kemudian dalam soal pembatalan ordinan-ordinan darurat, peguam negara juga berpendapat kerajaan mempunyai kuasa untuk melakukannya kerana “YdPA kena ikut nasihat Jemaah Menteri.”

“Terpaksa YdPA buat teguran bertulis terhadap peranan Menteri Takiyudin dan Peguam Negara ‘mengelirukan’ Dewan Rakyat,” kata Shahrir.

Semalam Idrus mendakwa sebarang cubaan mengabsahkan kedudukan Ismail sebagai perdana menteri adalah mencabar kuasa mutlak Agong melantik beliau.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain,” katanya.

Setakat ini, usul undi percaya berkenaan tidak disenaraikan sebagai atur cara pada sesi parlimen akan datang.

Ismail dilantik perdana menteri pada 21 Ogos lalu, beberapa hari selepas Muhyiddin Yassin terpaksa meletak jawatan setelah 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada beliau, sekali gus menyebabkannya kehilangan sokongan majoriti.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/05/sistem-demokrasi-terus-huru-hara-jika-idrus-harun-kekal-peguam-negara-kata-shahrir/

BACA: Gandingan Ismail dan Muhyiddin mampu pulihkan negara – Hadi