Pembelian dua lot banglo bernilai RM5.9 juta untuk wakaf sekolah Tahfiz

Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, sebanyak RM5.9 juta wang dana Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disumbangkan kepada sebuah yayasan lain bagi membeli dua lot banglo untuk diwakafkan sebagai sedekah dan amal jariah.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, salah sebuah banglo itu telah dibangunkan menjadi surau lengkap dengan bilik mesyuarat.

Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan, pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang yang dikeluarkan daripada akaun pemegang amanah Tetuan Lewis & Co. yang kemudian disalurkan kepada Yayasan Al-Falah, adalah hasil daripada aktiviti haram.

Pembelian dua lot banglo bernilai RM5.9 juta untuk wakaf sekolah Tahfiz

Hujah Hisyam, wang RM5.9 juta itu sebaliknya merupakan sumbangan daripada dua ahli perniagaan, Junaith Asharab dan Mubarak Hussain Akhtar Husin yang mana kedua-duanya merupakan saksi pendakwaan.

Mubarak Hussain yang merupakan saksi pendakwaan ke-66 dalam keterangannya menyatakan, wang tersebut adalah sumbangan bagi membangunkan sekolah tahfiz milik bekas Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, Junaith Asharab (saksi pendakwaan ke-36) menyatakan, cek turut diserahkan kepada Ahmad Zahid untuk membangunkan masjid di Bagan Datuk, Perak.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan prosiding penghujahan bersambung esok.

Mahkamah mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Sumber :

BACA JUGA : Timbalan Speaker ketiga, Menteri kata cadangan menarik