Pelakon veteran Fetty Dzul meninggal dunia akibat Covid-19

Pelakon veteran Fetty Dzul, 63, meninggal dunia akibat COVID-19 tahap lima di Hospital Selayang jam 7.30 pagi, hari ini.

Berita pemergian Fetty atau nama sebenarnya, Fatimah Abd Rahim disampaikan anaknya dikenali sebagai Ijat kepada pelakon veteran, Isma Alif.

Fetty dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak 7 November lalu.

Pelakon veteran Fetty Dzul meninggal dunia akibat Covid-19

Pelakon veteran Fetty Dzul.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Semoga Allah SWT mengampuni arwah Mamy dan mengurniakan Jannatul Firdaus kepadanya. Aamin!

“Terima kasih di atas semua ingatan yang ikhlas dan doa yang baik-baik terhadap arwah Mamy.

“Kami sekeluarga bagi pihak Mamy ingin memohon maaf sekiranya arwah ada salah silap sepanjang perkenalan dengan semua. Minta halalkan makan minum dan perbuatan serta tutur kata arwah Mamy Fetty Dzul. Dia sayang semua orang!,” kata anaknya menerusi mesej kepada Isma Alif.

Keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak malam tadi apabila buah pinggang dan paru-parunya gagal berfungsi.

Keluarganya turut mengadakan majlis bacaan Yasin malam tadi yang disertai rakan-rakan penggiat seni.

Allahyarham begitu laris membintangi pelbagai drama dan wajahnya sering menghiasi akhbar dan majalah pada era 1970-an dan 1980-an.

Fetty dikenali peminat kerana sering tampil dengan watak jahat dalam drama dan filem.

Selain pelbagai drama dan telefilem, Fetty turut berlakon dalam filem Boss, Pontianak Bidan Gayah dan Hantu Bungkus Lawan Pontianak.

Terdahulu, menerusi Instagram Persatuan Seniman Malaysia pada 9 November lalu, Fetty dimaklumkan sedang kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan ketika berada dalam Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang.

Sepanjang pembabitan dalam arena seni, nama Fetty begitu dikenali peminat kerana sering tampil memegang karakter antagonis dalam drama atau filem.

Fetty juga merupakan antara pelakon terawal yang terbabit dengan siri drama kepolisan terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Remang-Remang Kota Raya, Harimau Rimba dan Debu-Debu Kota sekitar tahun 1980-an.

Fetty kemudiannya meninggalkan Malaysia selama empat tahun pada awal 1990-an kerana mengikut Allahyarham suaminya bertugas di Amerika Syarikat.

BACA JUGA : Panas !!! Rauf kongsi rahsia dirinya kini ‘kaya raya’
Gempar !!! WHO dedah dos penggalak adalah satu ‘skandal’

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Pelakon veteran Fetty Dzul meninggal dunia akibat Covid-19 […]