Panas !!! Jika PM masih lembab, JK tamat darurat mohon Agong panggil sidang parlimen

Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat (JK Tamat Darurat) menjunjung kasih kepada Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu atas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan. Amat jelas dari apa yang disebut bahawa kerajaan PN+BN telah gagal untuk mengawal bukan sahaja pandemik Covid-19 tetapi juga ekonomi negara dan perpaduan sosial.

JK Tamat Darurat juga mengalu-alukan perakuan dari Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya kestabilan politik dengan adanya kerajaan yang disokong rakyat untuk memerangi wabak Covid-19 dengan berkesan.

JK Tamat Darurat ingin merakamkan bahawa ketidak stabilan politik dewasa ini adalah hasil budaya politik khianat dan politik toksik (habuan dan jawatan) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan PN+BN dewasa ini. Ini telah menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak disokong ramai mengambil tampok pemerintahan.

JK Tamat Darurat juga berterima kasih kepada Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang mengiktiraf kepentingan Parlimen. JK Tamat Darurat percaya bahawa sidang Parlimen, bukan hanya sebagai mekanisme semak dan imbang sahaja, tetapi ia juga adalah pentas terbaik untuk proses perbahasan untuk mengenal pasti kaedah dan perbelanjaan terbaik untuk mengatasi pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi negara.

JK Tamat Darurat juga ingin merakamkan kekecewaan kami terhadap kenyataan Menteri kerajaan PN+BN yang ingin memperlekeh dan mempermain-mainkan kenyataan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung keperluan untuk Parlimen dibuka segera. Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) yang menyatakan Perdana Menteri sudah berjanji Parlimen akan dibuka September nanti seolah-olah menganggap Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai tidak bermaklumat dan kenyataan tersebut tidak bermakna. Sedangkan amat jelas cadangan untuk buka Parlimen kira-kira tiga bulan dari sekarang adalah tidak memadai dan terlalu lambat bagi pandangan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu! Amat jelas kerajaan PN+BN adalah samada amat lembab atau ingin ingkar terhadap titah Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

JK Tamat Darurat berpendapat, dibawah kuasa Ordinan Darurat {Seksyen 14 dan 15 (Kuasa-kuasa Perlu) 2021} memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh yang sesuai memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri lembab atau ingkar. Sehubungan itu, patik-patik semua memohon Yang Dipertuan Agong memanggil sidang Parlimen pada bulan Julai, iaitu ketika Darurat masih berjalan.

DAULAT TUANKU

KHALID ABD SAMAD
Pengerusi JK Tamat Darurat

Berita Penuh TAMAT DARURAT