Mereka sudah tersepit cari bekalan makanan, kena kompaun pula – Azis

Ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman membidas tindakan pihak berkuasa mengkompaun sekumpulan penduduk pedalaman di Sabah yang dikatakan keluar membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan di pekan Tenom.

Terkejut sekumpulan penduduk kampung miskin dilaporkan harus membayar RM1000 setiap seorang ketika dalam perjalanan ke Tenom untuk membeli makanan dan ubat-ubatan, Azis berkata walaupun penduduk melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP), pihak berkuasa perlu bersimpati dengan kesusahan mereka.

“Rakyat sebaik mungkin cuba mematuhi PKP…keadaan sudah cukup teruk kerana tidak ada bantuan makanan tetapi juga pergerakan mereka terkawal.

“Apa yang kerajaan mahu mereka lakukan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, FMT melaporkan hasrat sekumpulan penduduk keluar membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan di pekan Tenom bukan saja tidak kesampaian malah mereka dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati melanggar SOP PKP.

Dalam kejadian 27 Jan lalu, lapan penduduk termasuk warga emas dari beberapa kampung ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Tenom untuk dikenakan kompaun kerana bas dinaiki melebihi kapasiti 50% penumpang seperti ditetapkan.

Bagaimanapun, beberapa penduduk ditemui sedih kerana kesalahan itu bukan disengajakan, lebih-lebih lagi jarak kampung mereka yang agak jauh dari pekan Tenom dan sukar berulang-alik semata-mata untuk membeli barang keperluan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sepanggar itu menggesa kerajaan termasuk Gabungan Rakyat Sabah mempercepatkan bantuan pengagihan makanan.

Katanya, tidak boleh ada diskriminasi terhadap bangsa, agama dan politik.

“Apabila wakil rakyat dari pembangkang mengunjungi bahagian mereka, jangan halang kerana tujuan kami adalah untuk membantu orang-orang yang terkena wabak itu,” katanya. – FMT