Menteri gesa usah perbesar isu gangguan seksual

Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia menasihatkan pemain dalam industri seni tanah air agar tidak memperbesarkan isu gangguan seksual.

Memetik laporan daripada Mingguan Malaysia, beliau mahu pemain industri lebih mengutamakan hal-hal positif daripada isu-isu terpencil yang didakwa berlaku.

Annuar dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan beberapa pemain industri berhubung isu gangguan seksual yang berlaku ke atas artis, selebriti dan kru produksi.

“Saya rasa isu itu tak perlu diperbesarkan. Fokus pada perkara positif daripada kes-kes terpencil,” katanya.

Sebelum ini, pelakon, Namron mendedahkan gangguan seksual dalam industri tidak hanya berlaku kepada wanita sebaliknya lebih ramai artis lelaki yang berdepan isu tersebut.

Annuar Musa Menteri
Malah pelakon, Sharifah Amani juga mendedahkan golongan kru produksi turut berdepan isu tersebut yang sudah lama ‘bernanah’ dalam industri.

Mengulas isu itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, pihaknya tidak menerima aduan berikutan ramai mangsa takut dan bimbang terjadi perkara yang tidak baik terhadap mereka.

Sehubungan itu beliau meminta mereka yang terbabit tampil membuat laporan agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pelaku terbabit.