Mengapa Raja-Raja Melayu mahukan sebuah kerajaan yang stabil?

Walaupun banyak diperkatakan mengenai keputusan Raja-raja Melayu mengenai pembukaan semula Parlimen dan penamatan darurat, para penganalisis berkata, kenyataan itu juga menekankan keperluan kerajaan stabil yang didukung kepercayaan dan sokongan majoriti rakyat.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, kenyataan Rabu lalu itu boleh dibaca dengan dua cara.

Pertama, Raja-raja Melayu mahukan pembangkang dan rakyat menyokong kerajaan dalam usaha menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi yang semakin memburuk.

“Namun ia juga mungkin bererti kerajaan semasa tidak memiliki sokongan majoriti,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, fokusnya adalah kepada mempunyai kerajaan yang stabil.

Azmi berkata, Raja-raja Melayu mungkin mahu Putrajaya membuka Parlimen secepat mungkin supaya Ahli Parlimen dapat membincangkan perkara itu.

“Apabila sampai masa yang tepat untuk adakan pilihan raya, mereka mungkin mahu rakyat memutuskan siapa yang mereka inginkan,” tambahnya.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Raja-raja Melayu memberi ruang kepada Parlimen untuk memutuskan siapa yang sepatutnya memegang kuasa.

“Saya percaya ini adalah bagi membolehkan Parlimen memutuskan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk memerintah negara ini,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penekanan di sini adalah pada “keyakinan”.

“Kerajaan perlu memiliki kepercayaan rakyat supaya mendapat sokongan majoriti,” katanya kepada FMT.

Pada masa ini, katanya, wujud ketidakpercayaan yang meluas terhadap kerajaan kerana para pemimpinnya dilihat sebagai “langsung tidak kompeten”.

“Sekalipun kita ketepikan soal politik, semua orang dapat melihat bagaimana mereka menangani wabak kesihatan,” katanya, merujuk kepada kadar vaksinasi yang perlahan dan peningkatan kes dan kematian Covid-19.

Jeniri Amir dari Majlis Profesor Negara berkata, Raja-raja Melayu tidak mahu pilihan raya diadakan ketika wabak sedang melanda.

“Mereka tidak mahu ada yang menimbulkan kekacauan dan menggugat kestabilan kerajaan ketika negara berdepan krisis kesihatan awam dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, negara memerlukan kerajaan yang stabil untuk fokus kepada isu-isu sedia dan pada “strategi yang lebih baik”.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/19/raja-raja-melayu-juga-mahu-kerajaan-stabil-kata-penganalisis/