Melombong Karbon Dioksida di permukaan bulan, bakal jadi realiti?

Melombong Karbon Dioksida di permukaan bulan, bakal jadi realiti? Beberapa tahun lepas, penulis pernah menyentuh isu melombong di angkasa lepas. Respon pembaca pada ketika itu lebih menjurus ke arah fantasi daripada berpijak di bumi nyata. Tetapi dengan kembalinya minat meneroka angkasa lepas oleh negara-negara kuasa besar, ia dijangka akan menjadi realiti. Salah satu komoditi yang akan dilombong mereka ialah pepejal karbon dioksida di bulan.

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Geophysical Research Letters, perangkap sejuk yang wujud di bulan memerangkap karbon dioksida dalam bentuk pepejal. Karbon dioksida dalam bentuk sedemikian boleh dimanfaatkan sebagai bahan api roket, makanan dan oksigen. Dan penulis kajian Norbert Schorghofer percaya kajian sebegini akan dianggap sebagai peta harta karun oleh mana-mana entiti atau negara yang berminat.

Tidak diketahui sama ada karbon dioksida berbentuk pepejal wujud di bulan. Tetapi di sesetengah wilayah bulan, ia sentiasa sejuk sekaligus membantu ais di situ terus wujud. Keadaan ini turut dibantu dengan fakta sesetengah kawasan tidak menerima cahaya matahari selama berbilion tahun.

Jadi, bagaimana saintis tahu karbon dioksida dan ais wujud di bulan? Ini berdasarkan ujian NASA yang dibuat pada 2009. Semasa ujian dijalankan, saintis mengesan kewujudan molekul air dan karbon dioksida dikesan wujud dalam kepulan serpihan.

Suhu tertentu sesetengah perangkap sejuk boleh menukar air dan karbon dioksida daripada gas kepada pepejal. Proses ini dikenali sebagai proses pemejalwapan dan proses ini mengambil masa yang lama. Justeru, tidak hairanlah jika bilangan ais yang terkumpul lebih banyak daripada ais yang hilang.

Saintis menganggarkan kawasan perangkap sejuk seluas 6,000 batu persegi wujud di kutub selatan bulan. Daripada jumlah tersebut, 79 batu persegi dipercayai mengandungi pepejal karbon dioksida. Tetapi usaha untuk mengambilnya bukan sesuatu yang mudah dengan sesetengah perangkap sejuk lebih kecil dan terlindung daripada orbit.

Bagaimanapun, tidak diketahui asal-usul karbon dioksida yang wujud di bulan. Tetapi para saintis percaya ia terhasil akibat hentaman komet yang kaya dengan ais atau tindak balas kimia daripada hentaman berkenaan. Karbon dioksida yang terperangkap di permukaan perlahan-lahan terlepas sebelum kemudiannya membeku.

Schorghofer percaya pencarian pepejal karbon dioksida ini akan sama seperti pencarian minyak pada abad ke-19. Dengan negara-negara global mula mengetengahkan agenda astropolitik dalam penggubalan polisi mereka, usah terkejut ini akan menjadi sasaran mereka selepas berjaya sampai ke bulan.

BACA JUGA : Jam digital tracker KKM ‘cap ayam’, tak sampai sehari pakai tercabut sendiri