Mana pergi suara negara Arab dalam isu Palestin?, soal Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaan terhadap negara Islam terutama rantau Arab yang seolah-olah tidak mengambil berat terhadap nasib umat Islam di Palestin.

Malah, katanya kebanyakan negara Arab enggan mengenakan tekanan terhadap Israel sebaliknya ada yang ingin mewujudkan hubungan baik dengan rejim Zionis itu.

“Sekarang kebanyakan negara Arab enggan mengambil tindakan terhadap Israel. Malah ada antara mereka memutuskan mereka harus mempunyai hubungan dengan Israel.

“Mungkin mereka rasa ia dapat mengurangkan serangan terhadap Palestin tetapi saya tidak yakin bahawa usaha untuk bekerjasama dengan Israel ini akan mengakibatkan orang Palestin memperoleh kembali tanah mereka,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan usaha negara Arab menjalinkan hubungan dengan Israel tidak memberi sebarang makna kepada perjuangan Palestin.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, negara Islam hanya memberi tumpuan kepada masalah dan permusuhan sesama mereka dan tidak mempedulikan nasib umat Islam lain yang berada di luar lingkungan negara mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, dunia nampaknya melihat bahawa Palestin yang melakukan provokasi terhadap Israel dan sudah tiba masanya semua negara Islam bersatu dan mencari strategi baharu demi memastikan nasib rakyat di negara berkenaan terbela.

“Kita perlu mempertimbangkan strategi baharu dalam memperjuangkan keadilan. Penting untuk kita mendapatkan pengiktirafan diplomatik dan diplomasi untuk menjelaskan kebenaran bahawa mangsanya adalah rakyat Palestin, bukan sebaliknya,” ujarnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-dunia/dr-mahathir-kecewa-negara-arab-seolaholah-tidak-ambil-berat-terhadap-palestin-298093