Mahkamah Rayuan Malaysia yang bersidang pagi ini secara sebulat suara menolak rayuan seorang Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff untuk membatalkan saman Ketua Wanita Parti Amanah Negara, Aiman Athirah Sabu ke atasnya.
Kamarul memfailkan rayuan berkenaan setelah Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 7/1/2021 telah menolak permohonannya untuk membatalkan saman Aiman ke atasnya.
Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan YA Hakim Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah dan dibantu oleh YA Hakim Dato’ S. Nantha Balan dan YA Hakim Dato’ Nordin Hassan bersidang pagi ini dan menolak rayuan Defendan tersebut setelah mendengar hujah kedua-dua peguam yang mewakili Kamarul dan Aiman.
Hakim Dato’ Mohamad Zabidin semasa menyampaikan keputusan, menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mendapati tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan campur tangan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan berkenaan sebelum ini.
Kes berkenaan yang telahpun diperintah untuk dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu ke Mahkamah Tinggi Alor Setar ekoran permohonan Kamarul yang menyatakan bahawa beliau kini menetap sepenuhnya di negeri Kedah dan bukan lagi di negeri Kelantan, kini ditetapkan untuk disebut semula pada 3/11/2021 di hadapan Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi pengurusan kes pra-bicara.
Pada perbicaraan pagi ini, Aiman Athirah diwakili oleh peguam Hisham Fauzi manakala peguam Faidhur Rahman Abdul Hadi mewakil Kamarul Zaman.