Lemak babi sejuk beku penuh satu kontena dirampas pihak berkuasa

Sebuah kontena berisi lemak babi sejuk beku seberat 21.19 tan ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini kelmarin.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, barangan dagangan berkenaan ditahan pihaknya atas kesalahan melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

“Ketika pegawai penguatkuasa melakukan pemeriksaan rutin pada pukul 10.15 pagi, mereka mendapati sebuah kontena membawa ‘frozen pork back fat’ dari Belgium.

“Pemeriksaan lanjut mendapati alamat pengimport pada permit Maqis dan borang K1 adalah berbeza dengan alamat pada Sijil Kesihatan Veterinar yang telah diikrarkan.

“Sehubungan itu kesemua barangan berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Hizzuan, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/06/18/maqis-tahan-21-19-tan-lemak-babi-sejuk-beku/