Lelaki ancam bunuh isteri dan anak dengan letupkan rumah

Lelaki ancam bunuh isteri dan anak dengan letupkan rumah. Polis menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas mengugut mahu membunuh diri dan isterinya dengan memotong saluran tong gas petroleum cecair (LPG) di sebuah rumah kedai di Jalan Semenyih Sentral 1, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.05 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bergegas ke lokasi kejadian bagi mengesan suspek berusia 34 tahun yang turut disyaki terbabit kes ugutan di kawasan sama pada 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata ketika serbuan suspek mengamuk dengan membaling dan memecahkan barangan di dalam rumahnya.

Beliau berkata, suspek juga cuba memotong salur getah tong gas yang diletakkannya di hadapan pintu rumah.

“Suspek mengunci pintu jeriji rumah kerana tidak mahu memberi kerjasama kepada pihak polis, selain memecahkan cermin kaca dalam rumah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, susulan itu polis meminta bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih yang tiba jam 4.45 petang.

Lelaki

“Tindakan itu dilakukan selepas suspek gagal dipujuk dan dengan bantuan anggota bomba, polis dapat memasuki rumah dan berjaya menahan suspek,” katanya.

Mengenai kes ugutan pula, Mohd Zaid berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja syarikat penghantaran barang mendakwa lelaki itu memegang parang dan cuba masuk ke tempat pekerja berkenaan.

“Suspek mengugut akan mencederakan sesiapa yang mahu melawannya, sebelum pekerja itu menghubungi polis dan suspek kemudiannya melarikan diri,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek yang sudah berkahwin mempunyai tujuh rekod jenayah lalu, termasuk penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Keseksaan. Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Semenyih, Mohammad Darul Azreen Md Desa ketika dihubungi, berkata sepasukan sembilan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan daripada polis.

“Sejurus tiba, kami dimaklumkan seorang lelaki dipercayai tidak siuman mengamuk di premis terbabit dan mengancam mahu membunuh diri serta isterinya dengan meletupkan gas LPG.

“Anggota bomba kemudian berjaya membuka pintu jeriji menggunakan pemotong khas bagi membantu polis menahan suspek,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/09/860727/lelaki-kurang-siuman-ditahan-ancam-letup-rumah

BACA: “Zahid patut terima imuniti daripada didakwa”