Kisah dua bandar Wuhan dan New York

Tajuk CNN: “Ribuan manusia bersesak di jalan raya untuk menyambut kedatangan tahun baharu di Wuhan, di mana koronavirus mula muncul, sedangkan bandar-bandar di negara lain lengang”.

Kisah ini adalah versi moden novel bersejarah A Tale of Two Cities karya Charles Dicken yang merupakan bahan pembelajaran sastera semasa saya seorang pelajar tingkatan empat di Sekolah Tinggi Batu Pahat pada tahun 1958.

Ayat pembukaan terkenal yang ditulis Dickens dalam novel ini amat sesuai untuk menggambarkan permulaan tahun 2021:

“Ia adalah masa yang terbaik, ia adalah masa yang terburuk, ia adalah zaman kebijaksanaan, ia adalah zaman kebodohan, ia merupakan kemuncak kepercayaan, ia merupakan kemuncak ketidakpercayaan, ia adalah musim Kecerahan, ia adalah musim Kegelapan, ia merupakan musim bunga yang penuh harapan, ia merupakan musim sejuk yang penuh kekecewaan, kita mempunyai segalanya di depan kita, kita tidak mempunyai apa-apa sekali pun, kita semua akan ke syurga, kita semua akan ke sebaliknya — pendeknya, era ini amatlah serupa dengan masa semasa, sehingga pihak yang berkuasanya berkeras supaya ia diterima, dengan baik atau buruk, dalam perbandingan yang terlalu jauh sahaja.”

Data terkini mengenai wabak Covid-19 mencatatkan lebih 85 juta jangkitan di seluruh dunia, dengan lebih daripada 1.85 juta kematian akibat wabak ini. Apabila Joe Biden mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat yang ke-46 pada 20 Januari ini, jumlah kes terkumpul global dijangka akan melebihi 100 juta kes dan dua juta kematian.

Inilah skala bencana global yang dibawa oleh wabak Covid-19.

Semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak ini sebagai pandemik pada 11 Mac, hanya terdapat 118,000 kes di seluruh dunia. Kini, angka ini telah meningkat 720 kali ganda dalam tempoh kurang daripada 10 bulan dan terus meningkat dengan mencatatkan rekod baharu peningkatan harian Covid-19.

Perbezaan ketara antara Wuhan dan New York dalam sambutan tahun baharu 2021 ini menjadi saksi perbezaan antara dua negara tersebut.

Ribuan orang bersesak di jalan raya di Wuhan, yang merupakan tempat wabak ini mula tular ke seluruh dunia, menyambut tahun baharu dengan penuh gaya, sedangkan New York, seperti kebanyakan bandar-bandar lain di seluruh dunia, kosong tanpa sebarang sambutan, memandangkan langkah-langkah kesihatan awam untuk mengawal penularan wabak dikuatkuasakan.

Disiplin lebih baik di negara-negara Timur

Perkara ini menunjukkan perbezaan jelas antara Timur dan Barat. Disiplin sosial lebih baik di negara-negara Timur, membolehkan kejayaan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, dan pembersihan tangan, diguna pakai secara universal untuk melawan penularan wabak ini, berbeza dengan situasinya di Barat.

Malah India, negara kedua selepas Amerika Syarikat dengan lebih daripada 10 juta menunjukkan perbezaan dengan negara-negara barat. Ia satu-satunya negara dengan banyak kes yang menunjukkan lekuk penurunan kes harian Covid-19 – daripada kemuncak 97,859 kes baharu pada 16 September 2020 kepada peningkatan harian hanya 21,222 kes pada semalam.

Perkara ini amat berbeza di Amerika Syarikat. Negara tersebut masih belum menemui kemuncak peningkatan harian kesnya. Amerika Syarikat mencatatkan 236,387 kes baharu semalam – hanya sedikit bawah rekod 255,809 kes pada 18 Disember tahun lalu.

Amerika Syarikat telah berubah daripada sebuah kuasa hebat dunia kepada sebuah negara ketiga dunia akibat wabak Covid-19 ini, dengan situasi yang tidak masuk akal. Persoalan sama ada rakyat secara amnya perlu memakai pelitup muka untuk mengekang penularan wabak ini masih diperdebatkan, selepas lebih setahun wabak ini menular!

Semasa Malaysia mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac, Malaysia mencatatkan 790 kes terkumpul Covid-19, dengan dua kematian, China mencatatkan 80,928 kes terkumpul dengan 3,245 kematian, dan Amerika Syarikat mencatatkan 10,101 kes dengan 170 kematian.

Kini, Malaysia mencatatkan sejumlah 119,077 kes terkumpul dengan 494 kematian, China mencatatkan 87,117 kes dengan 4,634 kematian, dan Amerika Syarikat mencatatkan 21,081,796 kes dengan 360,033 kematian.

Pada satu masa dahulu, Malaysia dan China – yang mempunyai 40 kali ganda jumlah penduduk berbanding Malaysia – dipisahkan dengan lebih daripada 50 kedudukan dalam carta negara-negara dengan jumlah kes terkumpul yang tertinggi. Kini kita berada di sepuluh kedudukan lebih tinggi berbanding dengan China, dengan 119,077 kes di Malaysia berbanding dengan 87,117 kes di China.

Jika Malaysia tidak mampu untuk menjadi seperti China dalam melawan wabak Covid-19 ini, sekurang-kurangnya janganlah kita menjadi seperti Amerika Syarikat.

Vaksin Covid-19 yang dinanti-nantikan ini bukanlah penyelesaian kepada wabak ini, malah kini terdapat huru-hara berkaitan dengan vaksin ini di Amerika Syarikat.

Media melaporkan yang sekurang-kurangnya 123,639 orang masih berada di hospital di Amerika Syarikat akibat koronavirus ini setakat Sabtu lepas, menandakan hari ke-32 berturut-turut angka hospitalisasi berada atas paras 100,000 pesakit.

Lonjakan selepas Thanksgiving

Kes baharu telah melonjak selepas cuti Thanksgiving dan impak daripada sambutan Krismas dan tahun baru masih sedang berkembang.

Pakar-pakar kesihatan risau sekiranya jangkitan terus menular. Mereka bimbang mengenai keruntuhan sistem kesihatan di Amerika Syarikat sekiranya berlakunya sekali lagi lonjakan kes.

Pada 21 Disember 2020, Carta Ketahanan Covid Bloomberg diterbitkan. Kita berada di belakang sembilan buah negara di Asia (Taiwan, Singapura, Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam, Hong Kong, Thailand, dan Bangladesh), dan di hadapan hanya empat negara Asia iaitu Pakistan, Indonesia, Filipina, dan India.

Adakah kita mampu untuk berada dalam keadaan yang lebih baik dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg Januari 2021?

Adakah Covid-19 ini masih lagi menjadi agenda utama dalam mesyuarat kabinet pertama 2021, memandangkan suku pertama tahun ini kelihatan suram untuk rakyat Malaysia.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557538

COMMENTS

Wordpress (0)