Kelulusan vaksin di negara kita terlalu lambat, negara luar dah buktikan kejayaan – Tun M

Kelulusan vaksin di negara kita terlalu lambat, negara luar dah buktikan kejayaan – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan kerajaan yang melambatkan proses kelulusan vaksin yang telah mendapat pengiktirafan badan kesihatan di peringkat antarabangsa.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kelewatan itu termasuk pada vaksin dari Rusia yang masih belum mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk digunakan di negara ini.

Katanya, vaksin yang digunakan oleh negara-negara lain telah menunjukkan perkembangan positif dalam mengurangkan penularan jangkitan COVID-19.

“Tak payahlah buat ujian yang lain pula… supaya kita nak tentukan nak tanya soal itu, soal ini. Kalau itu (vaksin berkenaan) boleh digunakan di negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat (AS), kita guna sajalah.

“Kita dapati kali ini di United Kingdom (UK), tak ada satu pun kes kematian (pada 1 Jun) sebab di UK mereka mengadakan satu kempen yang agresif untuk suntik vaksin kepada seberapa banyak yang mungkin. Belum sampai 80 peratus tetapi sudah ada kesan,” kata Dr Mahathir menerusi satu rakaman video, hari ini.

Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk memberikan suntikan vaksin kepada seberapa ramai rakyat di negara ini.

Selain itu, katanya, pasukan vaksinasi perlu digerakkan segera ke kampung-kampung dan membantu golongan warga emas yang tidak boleh keluar mendapatkan vaksin.

“Tak akan kerajaan tak boleh sewa bas atau kereta dan tak perlu terlalu banyak orang, kita mempunyai ribuan doktor, satu doktor di satu tempat sudah mencukupi untuk hantar bersama pasukan vaksinasi ke kampung-kampung.

“Saya dengar kawasan Pulau Tuba (Langkawi) terdapat seorang yang mendakwa berusia 130 tahun. Dia dilahirkan di Pulau Tuba dan tak pernah keluar dari Pulau Tuba dan umurnya lebih. Nak nanti dia pergi ke Kuah tentu sukar baginya.

“Sebab itu walaupun pulau, kita boleh ada bot, kita pergi kerana ada ramai orang juga di Pulau Tuba ini dan kita adakan satu pusat, bukanlah satu pusat yang besar tetapi kena atur dengan baik.

“Orang yang datang untuk vaksinasi ini mesti duduk berjauhan, jangan dekat-dekat kerana ini akan menyebabkan jangkitan,” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menegaskan supaya masyarakat tidak meragui mengenai keberkesanan vaksin yang telah dihasilkan oleh negara luar termasuk dari China.

“Kalau ada kesan yang tidak baik waktu ini kita sudah dapat tahu bahawa vaksin ini menyebabkan ramai yang mati.

“(Namun) kita tak dengar cerita sedangkan laporan akhbar dan media memang mencari-cari (bahan berita) sama ada vaksin ini memberi kesan yang tidak baik atau tidak.

“Saya dapati bahawa memang orang Eropah menyoal kebolehan orang China tetapi hakikatnya China mempunyai 1.4 bilion tetapi ekonomi mereka berjalan dengan baik dan boleh mengeluarkan produk,” kata Dr Mahathir.

Setakat ini, tiga vaksin mendapat kelulusan bagi pendaftaran bersyarat oleh NPRA iaitu COMIRNATY (Pfizer) yang dihasilkan oleh BioNTech di Jerman; AstraZeneca (Medimmune Pharma di Belanda); serta Coronavac keluaran Sinovac di China.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kelulusan-vaksin-tak-payah-buat-ujian-lain-dr-mahathir-301168