Kedai kopi boleh jual arak tanpa perlu mohon lesen – Menteri

Kedai kopi boleh jual arak tanpa perlu mohon lesen . Kerajaan membatalkan keputusan mewajibkan semua restoran dan kedai kopi mempunyai lesen alkohol untuk penjualan bir mulai tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dalam kenyataan berkata, Kementerian Kewangan sudah mengarahkan Jabatan Kastam membatalkan arahan itu kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Saya secara peribadi menghubungi Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang kini dalam lawatan kerja ke Singapura…Beliau mengesahkan Kementerian Kewangan memang telah membatalkan arahan di atas dan (beliau) berjanji akan mengarahkan Jabatan Kastam mematuhi keputusan ini,” kata Wee.

Memetik laporan FMT, Terdahulu, kedai kopi dan restoran dilaporkan wajib memohon lesen alkohol, membabitkan kos antara RM840 dan RM1,320 setahun, sekiranya pengusaha mahu terus menjual bir dan stout di premis mereka bermula 1 Jan depan.

Wee Ka Siong

Pengusaha terkejut dengan peraturan mendadak itu, yang walaupun terkandung dalam Akta Eksais 1976 dan Peraturan-peraturan Eksais 1977, hanya dikuatkuasakan kini.

Pengkritik berkata, langkah itu akan menjejaskan margin keuntungan kecil industri berkenaan dan melanggar hak serta kebebasan orang bukan Islam.

Wee berkata, Zafrul sudah membatalkan pekeliling yang dikeluarkan pada 7 April itu, yang menetapkan pemilik perniagaan memohon lesen alkohol daripada Jabatan Kastam sebelum 31 Dis ini.

Katanya, Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Wong Teu Hoon bertemu dengannya serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lim Ban Hong ketika pekeliling itu dikeluarkan, dan mereka “segera bertindak” untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung isu terbabit.

Katanya, beberapa pengusaha restoran dan kedai kopi di beberapa negeri dipelawa menghadiri taklimat Jabatan Kastam pada pertengahan bulan lalu, dan ketika pertemuan itu, mereka diarahkan memohon lesen alkohol daripada jabatan itu yang menjadi “punca kekecohan” berlaku.

Presiden MCA itu berkata, beliau bercakap mengenai hal itu dengan Zafrul tiga minggu lalu dan pada 23 Nov, Kementerian Kewangan mengarahkan Jabatan Kastam membatalkan pelaksanaan lesen wajib bagi penjualan minuman beralkohol di restoran serta kedai kopi.

BACA: Juara ternak katak kekal milik Melaka