Hanya si hati busuk yang fitnah, Pelan pemulihan TH terbukti berjaya – Mujahid

Hanya si hati busuk yang fitnah, Pelan pemulihan TH terbukti berjaya – Mujahid

Ketika saya mengumumkan 1.25% hibah (dividen) TH untuk 2018, saya ‘diserang’ habis-habisan walaupun waktu itu pelan pemulihan baru sahaja bermula.

Apa yang umat Islam tidak tahu ialah pengeluaran Hibah sejak 2014 dibuat tanpa memenuhi syarat mengikut Akta TH, iaitu aset TH sejak 2014 semakin susut berbanding dengan tanggungan. Risiko pelanggaran ini meningkatakan defisit aset sebanyak RM4.1 bilion pada tahun kewangan 2017.

Misi awal ialah memastikan hibah dikeluarkan dengan menutup jurang defisit terlebih dahulu iaitu pada 2018 meningkat RM10bilion setelah nilai rosot dibuat dengan betul. Alhamdulillah terbitan sukuk dari UJSB iaitu sebuah SPV dari MoF Inc berjaya disempurnakan. Aset kurang untung TH dipindahkan bernilai RM9 bilion dinilai dengan harga premium RM 20 bilion. Ini komitmen kerajaan PH untuk selamatkan TH.

Jurang berjaya diimbangkan dengan lebihan (surplus) RM1 bilion. Syarat telah disempurnakan untuk pengeluaran Hibah mematuhi akta Tabung Haji(1995). 9 juta pendeposit masih tetap mendapat dividen pada kadar 1.25% untuk 2018. Ia adalah kejayaan awal bukan seperti yang difitnahkan!

Fasa pemulihan seterusnya ialah menjana pendapatan tetap dari sukuk dan melestarikan TH melalui pengurusan risiko aset lebih berhemah sambil meyakinkan pendeposit Hibah 2019 akan jadi lebih baik. Alhamdulillah utk 2019 hibah ialah 3.05%. Tanda pemulihan mula nampak dan untuk 2020 3.10% seperti diumumkan menyaksikan peningkatan.

Fitnah jual Hotel TH adalah pembohongan jahat kerana yang menguruskan hotel TH ialah anak syarikat UJSB iaitu entiti dari Kementerian Kewangan (Inc). AdapunTH Plantation iaitu anak syarikat TH, masalah hutang yang tinggi disebabkan transaksi pembelian ladang sebelum ini yang merugikan. Sebelum saya ambil alih masalah hutang sudahpun melanda TH Plantation. Isu jual untuk atasi masalah hutang adalah transaksi biasa dalam pengurusan hutang korporat bukan sentimen rasis yang sempit.

Isu RCI , Siasatan Bebas DiRaja turut menjadi bahan politik untuk mempertikaikan usaha pemulihan yang dilancarkan di bawah pimpinan saya. Mereka cuba tutup kes 5 laporan polis terhadap pengurusan TH semasa DS Azeez Rahim menjadi Pengerusinya atas Jenayah Komersial termasuk penyelewengan dana Yayasan TH.

Saya mengalukan RCI tapi soalannya bagaimana TH yang menunjukkan tanda pemulihan dari defisit RM10 bilion semsa saya ambil alih dikatakan satu kesalahan? Ataukah RCI perlu untuk menyiasat kenapa semasa Menteri Agama BN dulu dan Pengerusi TH telah dengan sengaja memanupulasi akaun TH untuk bayar Hibah tinggi yang telah menjejaskan kewangan TH dan melanggar undang-undang?

Terimakasih pasukan TH dari awal pemulihan iaitu Tan Sri Muhamad Nor dan DS Zukri CEO TH dan Chief of Staff Encik Hizamudin serta pasukan yang sangat berdedikasi melaksanakan pelan pemulihan TH sehingga diiktirafi pelan ini di peringkat anugerah kewangan antarabangsa.

Hanya si hati busuk dan pendengki dengan kejayaan ini yang terus menabur fitnah dan seronok diulang oleh penyebar murahan di media sosial. Alhamdulilah peningkatan pendeposit membuktikan fitnah dan pembohongan makan diri sendiri sehingga membakar ke dalam perut-perut mereka menjadi api.

Marilah sama-sama kita harapkan kejayaan seterusnya untuk TH dan mari kita hentikan para pemfitnah yang memburukkan pelan pemulihan ini.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden Parti AMANAH

Sumber:

COMMENTS

Wordpress (0)