Gempar !!! Wujud usaha kumpul SD tukar MB Negeri Sembilan?

Wujud usaha kumpul SD tukar MB Negeri Sembilan.Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui tidak maklum terdapat gerakan bagi menggantikannya bagi jawatan tersebut termasuk usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) untuk diserahkan kepada kepemimpinan Pusat PKR.

Bagaimanapun beliau menyedari terdapat kumpulan-kumpulan yang mungkin tidak berpuas hati dengan dirinya, oleh itu, beliau memaklumkan akan menemui Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincang perkara yang timbul tersebut.

“Saya tidak tahu tentang SD dan tidak mengetahui tentang perkara (gerakan) tersebut, saya tidak dimaklumkan dan saya tiada masalah. Perkara ini biasa dalam politik dan kalau perkara itu berlaku saya yakin itu semua ketentuan Allah SWT.

“Saya cuba untuk berikan perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya dalam keadaan Covid-19 ketika ini, kalau boleh kita elaklah isu-isu politik yang membebankan, kita kena fikir bergerak ke hadapan, untuk pulihkan ekonomi, itu keutamaan kita yang sepatutnya,” katanya.

 Wujud

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusuf Tapar yang memaklumkan rancangan supaya Aminuddin digantikan telah lama dilakukan malah SD juga telah dihantar kepada Anwar kira-kira empat bulan yang lepas.

Menurut Yusuf lagi, empat orang daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di negeri ini juga telah menandatangani SD supaya Aminuddin digantikan iaitu ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad; ADUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek; ADUN Sri Tanjung, Datuk M. Ravi dan ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau tidak terkesan dengan isu yang dihadapinya sekarang dan beliau yakin ia mampu diselesaikan.

“Kumpulan-kumpulan ini selalu kita jumpa, ada juga mesyuarat MPN, bukan langsung tidak ada jadi saya rasa tidak ada masalah cuma sedikit salah faham yang boleh dibetulkan,” katanya.

Berita Penuh : https://utusan.news/terkini/2021/09/aminuddin-tidak-tahu-usaha-kumpul-sd-gantikannya/

BACA: 76,400 remaja terima vaksin Covid-19 hari ini