Gempar !!! Pakar perubatan mula pertikai kewajaran PKPB

PAKAR perubatan tergamam dengan keputusan Putrajaya menguatkuasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di hampir seluruh negara dan mempersoalkan apakah sebenarnya “matlamat akhir (end game)” cuba dicapai kerajaan dengan langkah itu.

Menggunakan data kes Covid-19 harian, mereka berkata, ia tidak menunjukkan sebarang perubahan besar di kebanyakan negeri, malah ada negeri yang melaporkan kadar jangkitan yang rendah.

Mereka mengulas keputusan Putrajaya menguatkuasa PKPB di hampir seluruh negeri kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu hingga 6 Disember depan.

Tambah mereka lagi, walaupun dapat difahami mengapa perintah kawalan pergerakan perlu untuk dikuatkuasa di Sabah dan Labuan, tidak ada peningkatan mendadak kes harian di kebanyakan negeri lain yang dikenakan PKPB.

Menyifatkan keputusan Putrajaya menguatkuasa PKPB sebagai “drastik dan mengarut”, seorang pakar perubatan mempersoalkan sekiranya hanya PKPB satu-satunya cara untuk mengekang penularan Covid-19.

Bekas ketua pengarah kesihatan Dr Lokman Hakim berkata perubahan kadar jangkitan Covid-19 di kebanyakan negeri dikenakan PKPB tidak menunjukkan perubahan mendadak.

“Insiden mingguan di Melaka, Sarawak, Johor, Perak dan Terenganu terlalu rendah sampai tak nampak, menyamai rendahnya insiden di Pahang dan Kelantan. Namun tetap dikenakan PKPB,” katanya.

Dr Lokman berkhidmat di Kementerian Kesihatan selama 32 tahun sebelum bersara pada 2017.

“Saya tak faham mengapa PKPB dilaksanakan seluruh negara kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis dan sehingga sebulan sekali gus. Atas pertimbangan apa tindakan drastik ini diambil?”

Dr Lokman yang kini berkhidmat sebagai profesor kesihatan awam di Universiti Perubatan Antarabangsa, berkata malah jika negeri “outlier” seperti Sabah dan Labuan dikeluarkan, kes Covid-19 di Melaka, Sarawak, Johor, Perak dan Terengganu adalah dibawah lima per 100,000 penduduk seminggu.

“Bagi yang faham ilmu epidemiologi, keputusan untuk melaksanakan PKPB berdasarkan angka sebegini adalah terlalu drastik dan keterlaluan. Malah Kedah yang sudah menunjukkan tren penurunan yang signifikan turut dikenakan tindakan yang sama,” katanya lagi.

“Apakah PKPP (dipertingkat) terhadap mukim atau kejiranan yang bermasalah tidak boleh dilaksanakan, yang sudah tentu memberi impak ekonomi yang lebih sederhana berbanding PKPB menyeluruh?

“Timbul pertanyaan apakah sebenarnya ‘end game’ yang ingin dicapai melalui tindakan ini? Apakah kita mahu memutuskan langsung penularan virus ini dalam masyarakat melalui PKP?”

Tambahnya lagi, sekiranya itulah matlamat Putrajaya, ia adalah “sesuatu yang mustahil” untuk dicapai dalam tempoh enam bulan tanpa kewujudan vaksin dan ubat-ubatan yang berkesan.

“Jika dilaksanakan selama 6 bulan, saya jamin ekonomi Malaysia akan lumpuh.”

 

Artikel penuh boleh dibaca disini