Gadis 15 tahun dilapor hilang ditemui di rumah teman lelaki, bapa buat laporan rogol

Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun selepas menemui teman wanitanya berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang Isnin lalu, di rumah sewanya di Padang Jawa, Shah Alam, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam melancarkan Ops Jejak bagi mengesan remaja itu di sekitar Shah Alam dan menemuinya di sebuah kondominium di Padang Jawa kira-kira 4 pagi tadi.

Katanya, gadis itu yang ditemui dalam keadaan baik, didapati tinggal di rumah sewa itu bersama teman lelakinya.

Beliau berkata, bapa gadis itu membuat laporan anaknya dirogol hari ini.

Katanya, polis akan meneruskan siasatan lanjut ke atas lelaki yang ditahan di lokasi sama.

“Dia disiasat atas kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dipetik Harian Metro dalam sidang media selepas Operasi Khas Pemantauan SOP Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama di IPD Shah Alam.

Semalam, media melaporkan polis menerima laporan seorang remaja hilang ketika keluar bermain papan selaju di kawasan taman rekreasi berhampiran rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam sejak 31 Mei lalu.

Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 pada malam Selasa lalu mengenai kehilangan anaknya yang dikenali sebagai Nur Elida atau El.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/04/teman-lelaki-ditahan-kerana-merogol-selepas-gadis-hilang-ditemui/