Bersatu dan Pas bincang struktur badan perhubungan PN Selangor

Bersatu dan Pas bincang struktur badan perhubungan PN Selangor

Pemimpin kanan Bersatu dan PAS Selangor hari ini membincangkan pembentukan badan perhubungan negeri Perikatan Nasional (BPN) di negeri itu.

Pengerusi badan itu, Azmin Ali berkata dia telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung perkara itu pada 5 Feb lalu.

“Perbincangan berlangsung dengan penuh semangat musyawarah memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi yang strategik, wibawa dan dinamik untuk menjana kekuatan baru demi memperkukuh keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azmin merupakan bekas menteri besar Selangor sebelum digantikan Amirudin Shari selepas Pilihan Raya Umum (PRU ke-14).

Bekas timbalan presiden PKR itu bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu selepas berlaku krisis politik pada Februari tahun lepas.

Selain Azmin, tiga lagi Adun PKR, Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan Daroyah Alwi (Sementa) turut menyertai Bersatu.

Azmin berkata, PN Selangor akan terus memperkukuh kepimpinan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat Selangor.

“Pengalaman bekerja bersama Bersatu dan PAS dalam kerajaan negeri Selangor pasti akan memperkukuh kekuatan dasar dan pelaksanaan gerak kerja demi masa depan negeri Selangor,” katanya.

Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 kerusi Dun.

PH menguasai 41 kerusi Dun dan membentuk kerajaan negeri, manakala Umno memiliki lima kerusi Dun, Bersatu (empat) dan PAS (satu).

Tiga lagi Adun menyokong parti Pejuang yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562616