Benarkah kes harian Covid-19 semakin menurun?

Semalam, bila diumumkan jumlah kes positif semakin menurun, seorang pemimpin parti kerajaan tiba-tiba muncul dengan dakwaan bahawa keputusan kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ adalah tepat. Walhal beberapa hari sebelumnya kerajaan sendiri sedaya upaya mempertahankan tindakan untuk tidak melaksanakan lockdown menyeluruh disebabkan faktor ekonomi?

Namun, jika benar pun angka kes menunjukkan trend menurun, apakah ianya memberikan gambaran sebenar situasi Covid-19 negara kita hari ini?

Sebagaimana kita telah jelaskan banyak kali bahawa jumlah kes harian yang diumumkan setiap hari itu harus dipadankan dengan jumlah saringan yang dibuat. Baharulah kita mendapat data yang tepat untuk membuat apa juga penilaian lanjut.

Seperti semalam dan beberapa hari lepas yang menunjukkan trend penurunan itu, kadar positiviti kes kekal berada pada tahap agak membimbangkan. Jumlah kes semalam sebanyak 5,271 kes jika dibuat perkadaran dengan jumlah saringan yang dibuat sebanyak 81,708 maka berapakah peratusannya? Masih berada pada paras melebihi 5% bukan?

Sebab itu hari ini selain angka kes harian, angka kematian juga amat perlu diberi perhatian. Semalam lebih 80 nyawa terkorban. Bukankah jumlah kematian itu masih membimbangkan ditambah kes yang dirawat di ICU melebihi 900 orang?

Bukanlah kita tidak bersyukur apabila kes berkurang, namun kita harus lebih berhati-hati dan tidak leka. Angka sebenar masih menjadi igauan ngeri buat kita, apatah hari ini pengumuman kerajaan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ seakan tidak memberi apa-apa makna apabila semakin banyak sahaja sektor ekonomi dibuka.

Ditambah dengan pelaksanaan SOP yang masih caca-marba dan berubah-ubah hampir setiap hari? Sesama menteri dalam kabinet pun tidak selaras malahan agensi penguatkuasa pun keliru, apakah rakyat akan kekal menjadi mangsanya?
Moga ALlah segera angkat wabak ini dari kehidupan kita dan lindungi diri kita dari segala kelemahan sang pengkhianat.

Sumber :