Bayi 4 bulan jadi punca jangkitan Covid-19 terhadap 12 individu lain

Seorang bayi lelaki berusia empat bulan mencetuskan kluster baharu dikenali sebagai Kluster Taman Midah yang sudah menjangkiti 12 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster berkenaan membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah pusat pendidikan di Taman Midah, Cheras.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-642,699 iaitu bayi lelaki warganegara Malaysia berusia empat bulan.

“Dia mula bergejala pada 11 Jun lalu dan dilaporkan positif COVID-19 pada hari sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membuat saringan ke atas 38 individu yang juga kontak rapat dan daripada jumlah itu, 12 individu disahkan dijangkiti COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Taman Midah adalah satu daripada 25 kluster baharu yang dikesan hari ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 20 membabitkan kluster tempat kerja iaitu dalam sektor perkilangan, syarikat perkhidmatan dan pasar raya.

“Kluster Pondok Batu Lapan dikesan di Seremban membabitkan kakitangan dan pengunjung di sebuah pusat pemulihan di Labu, Seremban.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah lelaki warganegara berusia 49 tahun dan dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Jun lalu hasil saringan kontak rapat.

“Sehingga kini, seramai 76 individu sudah disaring dengan 58 daripadanya positif COVID-19 termasuk 50 kes yang dikesan hari ini,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Dah Segar Indah ia dikesan di Langkawi membabitkan pekerja sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Kelibang Indah.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah lelaki warganegara Bangladesh berusia 26 tahun yang mula bergejala pada 9 Jun lalu sebelum disahkan positif COVID-19 pada 12 Jun.

“Sehingga kini, seramai 147 individu sudah disaring dan daripada jumlah berkenan 20 kes sudah dilaporkan positif COVID-19,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/829045/bayi-4-bulan-kes-indeks-kluster-baharu