Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor mengesahkan beliau tidak berhasrat merebut jawatan Naib Presiden pada Muktamar Tahunan PAS yang dijadualkan berlangsung di Kuala Terengganu pada 6 dan 7 Nov.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat memaklumkan perkara itu selepas terdapat laporan mengatakan namanya antara lima calon tersenarai yang layak bertanding merebut jawatan itu.
“Saya tidak bertanding (jawatan Naib Presiden PAS),” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum itu, media melaporkan senarai calon yang layak bertanding Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan PAS ke-67.
Selain Sanusi, nama lain tersenarai dan layak bertanding jawatan itu ialah tiga penyandangnya, Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad, Mohd Amar Abdullah serta ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki.
Kali ini, muktamar itu akan diadakan secara hibrid dengan kehadiran fizikal hanya membabitkan ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, ahli Majlis Syura Ulamak dan Pesuruhjaya PAS Negeri sahaja.
Manakala bagi perwakilan lain, mereka akan berada di negeri masing-masing dan mengikuti muktamar secara maya melalui media sosial rasmi PAS Pusat.
Tiga sayap utama parti itu membabitkan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat dijadual mengadakan perhimpunan agung masing-masing hujung minggu ini.
Muktamar Dewan Ulama dijadual diadakan di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Seremban esok, serentak Muktamar Dewan Pemuda yang berlangsung di sebuah hotel di Port Dickson.
Muktamar Dewan Muslimat pula dijadual diadakan di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, Ahad ini.
Ini adalah kali pertama PAS mengadakan muktamar tahunannya secara norma baharu dengan kehadiran perwakilan hanya membabitkan jumlah tertentu di lokasi muktamar terbabit.