Ahli Umno gelar Pas sebagai ‘unKing Maker’

PAS selalu sebut mereka adalah ‘king maker’. Siapa yang PAS mahu tabal jadi raja selepas PRU15?

PAS berjanji dengan UMNO untuk bersama berjuang untuk ummah dalam MN. MN sampai sekarang tidak terdaftar, walaupun sebagai NGO.

PAS sudah menandatangani kesudian menerima dan melaksanakan polisi sebagai ahli PN. UMNO/BN tidak sertai PN.

Dulu kita ada dengar MN jemput PPBM sertai MN. Masih belum ada pengumuman sama ada MN telah sahkan penyertaan PPBM ke dalam MN.

Dari sudut sains organisasi, PAS tidak akan dapat buat apa-apapun dalam perkara yang mereka bersetuju dalam MN, jika bercanggah dengan polisi atau pendirian PN.

Jika PAS buat juga, PAS akan dilihat tidak ada kesetiaan berorganisasi, atau tamak, dan kalau kangkang itu luas, boleh koyak. Koyak bererti PAS terbelah.

Maka, MN tidak akan mampu berfungsi sebagaimana hasrat asal, jika dalam perancangan mereka ada terpijak kaki PPBM, atau PN. Cita-cita untuk melihat MN menjadi badan politik berdaftar sebagai satu wadah sudah menjadi utopia.

Namun untuk menjadi gagasan besar ummah masih boleh, tetapi apa maknanya?

PAS dalam PN sebagai satu organisasi berdaftar dan mengikat. PAS juga berada dalam MN yang tidak berdaftar dan tidak mengikat. PAStinya, PAS tidak akan dapat laksanakan apa-apa persetujuan dengan UMNO dalam MN jika persetujuan itu bercanggah dengan pendirian PN. Kecuali PAS tidak setia dengan janji.

UMNO dilihat tidak menyekat PAS sertai PN kerana itu adalah hak sebuah parti yang bebas. Jika UMNO sertai PN, UMNO sedar bahawa UMNO bukan tonggaknya, maka Presiden UMNO tidak akan jadi Pengerusi PN.

Pengerusi PN akan tandatangan watikah calon yang akan bertanding dalam PRU. Faham-faham sahajalah implikasinya.

UMNO tidak boleh kata PAS tidak setia dalam MN, kerana MN belum berdaftar. PAS hanyalah pasangan yang bebas mencari untung dalam kancah politik. Pada sesuatu sempadan, PAS terhad dalam tindakan.

UMNO elok jangan berangan mengendeng gadis yang sudah berpunya. PAS juga tidak boleh lagi berhias jangok untuk memikat UMNO kerana mata tajam PPBM akan menjeling dengan penuh cemburu.

PAS kini perlu promosi PPBM. Kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan PAS dan Ketua Pemuda PAS jelas mempertahan Presiden PPBM walaupun kenyataan-kenyataan sebegitu menengelamkan mereka dalam paya ke paras hidung. Mereka hilang kejantanan lampau, cuma mampu berkokok dengan tembolok penuh.

Adakah MN kini sudah jadi sejarah? Adakah harapan kepada MN yang berkobar-kobar di akar umbi akan musnah? Adakah UMNO yang dilihat gagah bertongkat kepada MN setahun lepas akan hilang tongkat tersebut? Adakah UMNO akan jumpa tongkat baharu dalam jajaran baharu? Ramai yang menunggu.

Tidak kurang adanya mereka yang menembak api amaran supaya jajaran baharu tidak berlaku. Mereka menembak peluru kapur ‘No Anwar No DAP’. Seolah-olah menuntun kambing supaya tidak melilau tetapi terus ke kandang. Adakah mereka fikir UMNO itu kambing?

Apabila PAS menjadi sebahagian daripada PN, dan akan melaksanakan keputusan-keputusan PN, dan PAS tidak memimpin PN, layakkah lagi PAS meletak label di dahi sebagai King Maker?

Sumber :