Admin media sosial kerajaan diingatkan jangan tutup ruang komen – Menteri

Admin media sosial kerajaan diingatkan jangan tutup ruang komen . Semua pentadbir akaun media sosial kerajaan diminta tidak menutup ruangan komen atau menyekat ulasan warganet tertentu hanya kerana tidak tahan dikritik begitu teruk.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pendekatan tersebut hanya akan menyebabkan jurang komunikasi semakin melebar antara kerajaan dan rakyat.

“Sebaik-baiknya, cuba bertahan dan kalau mampu jawab, bolehlah terus bidas, tetapi, jangan sampai tutup langsung kolum komen itu atau ditukarkan kepada mod peribadi pula,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan secara maya Persidangan Antarabangsa mengenai Islam, Media dan Komunikasi Kali Ketiga yang berlangsung hari ini.

Admin

Program dua hari itu dianjurkan Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan dihadiri Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.

Media sosial tanah air baru-baru ini tular memperkatakan tindakan beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang menutup ruangan komen kerana tidak tahan dikutuk ramai warganet.

Ia susulan lonjakan teruk kes harian wabak Covid-19 yang menyebabkan rakyat marah selain kecewa apabila gagal menerima bantuan kerajaan walaupun pelbagai inisiatif diumumkan.

Mengulas lebih lanjut, Saifuddin turut menegur sikap segelintir pentadbir akaun media sosial jabatan kerajaan yang menyekat netizen hanya kerana sering memberi komen nada kutukan.

“Saya tahu ada admin (pentadbir) akaun Twitter agensi awam yang block (halang) warganet tertentu sebab dia selalu hentam maki hamun kerajaan, tetapi ini bukan cara terbaik,” katanya.

Malah, beliau meminta pentadbir itu lebih banyak bersabar kerana apabila menjadi jurucakap kerajaan, mereka kena selalu ‘tebal muka’ semasa dibalun rakyat melalui wadah media sosial.

Pada masa sama ujar beliau, mereka juga harus sedar sebagai barisan hadapan figura awam, adalah tidak wajar berperangai tidak matang sedemikian yang menjejaskan lagi imej kerajaan.

Sebaliknya tambah beliau, lebih baik dibiarkan sahaja rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati itu di alam siber daripada cuba dikongkong sebagaimana yang berlaku di negara komunis.

Justeru katanya lagi, tindakan pentadbir akaun yang sengaja menutup ruangan komen, menyekat warganet dan menukar akaun kepada mod peribadi itu sepatutnya tidak perlu pun dibuat.

“Tekanan netizen itu isu biasa, saya pun pening juga tetapi jangan buat begitu seolah macam takut, jawab sahaja atau tunggu waktu yang sesuai untuk dijawab balik pula,” kata Saifuddin.

Jumlah pengguna internet di Malaysia dianggarkan lebih 25 juta individu dan daripada angka itu, 75 peratus aktif melayari media sosial dengan memperuntukkan masa purata tiga jam sehari.

Warganet negara ini juga terkenal di peringkat global apabila pernah ‘menyerang’ juri program MasterChef yang mempertikai rendang ayam dan terbaru, mengutuk kezaliman tentera rejim Israel.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/07/usah-tutup-kolum-komen-sekat-netizen-tukar-mod-peribadi/

jika Terlepas: Pemuda ini dedah isu Musang King di Raub ‘wayang’ semata