6 lelaki bertopeng serang pembeli laksa, mangsa parah ditetak

Seorang pekerja stor lelaki parah ditetak sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Taman Merak di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 7.20 malam ketika mangsa berusia 25 tahun itu sedang membeli laksa di sebuah gerai di tapak pasar malam kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.20 malam yang memaklumkan kejadian tersebut.

6 lelaki bertopeng serang pembeli laksa, mangsa parah ditetak

Tangkap layar video yang dikongsi orang ramai berhubung kejadian di Simpang Ampat, Nibong Tebal semalam.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati mangsa didatangi enam lelaki bertopeng sebelum bertindak menetak mangsa.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan tetak pada kedua-dua tapak tangan, belakang kepala serta kesan toreh pada peha mangsa.

“Rakaman awal saksi yang mengenali mendakwa melihat mangsa sedang beli laksa sebelum tiba-tiba berlari masuk ke dalam kawasan tapak pasar malam sambil dikejar oleh berberapa lelaki yang memakai topeng muka.

“Saksi juga mendakwa melihat mangsa ditetak di tepi jalan semasa berlari dan masih diserang walaupun mangsa sudah terjatuh ketika dikejar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, semakan juga mendapati mangsa mempunyai tiga rekod lampau membabitkan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 akta yang sama.

“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

“Siasatan berhubung kes ini masih dilakukan termasuk menyiasat sama ada wujud penglibatan geng kongsi gelap atau sebaliknya,” kata Chong Chern.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/31/lelaki-parah-ditetak-ketika-sedang-beli-laksa-di-pasar-malam/

BACA JUGA : Panas !!! Kes mati dilantai hospital : Keluarga mangsa nafi diberi penjelasan

Artikel ini disiarkan pada 31/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)