Ibu bapa pelajar di SMK Kota Kemuning di Selangor menyeru agar sekolah ditutup sementara dan kelas dibuat secara dalam talian susulan kes Covid-19.
Seorang guru dan empat murid dilaporkan dijangkiti Covid-19 baru-baru ini dengan 182 murid serta 41 guru dari enam kelas diarahkan menjalani kuarantin.
Bagaimanapun, pejabat kesihatan daerah memutuskan sekolah itu dibenar beroperasi seperti biasa.
Surat pekeliling dikeluarkan sekolah bertarikh 14 April lalu memaklumkan ibu bapa bahawa dua orang murid dan seorang guru disahkan positif Covid-19. Dua hari kemudian, lagi dua murid disahkan positif.
Dalam surat pekeliling 16 April, sekolah memutuskan untuk mengkuarantin sebanyak enam kelas, membabitkan 182 murid dan 41 guru yang perlu berada dibawah kes pengawasan (PUS). Seramai 43 pelajar pula diarah untuk menjalani ujian calitan.
Pun begitu, pejabat kesihatan daerah memutuskan sekolah itu kekal dibuka seperti biasa.
Seorang bapa, Shashi Kumar Shanmugam, 47, berkata ramai ibu bapa merasa tidak selamat untuk membenarkan anak-anak mereka kembali ke sekolah, dan persatuan ibu bapa-guru (PIBG) sudah digesa untuk meminta sekolah ditutup.
Namun, pihak sekolah dan PIBG memaklumkan kepada ibu bapa bahawa keputusan akhir adalah bergantung kepada pejabat kesihatan daerah, yang akhirnya memaksa ibu bapa menghubungi jabatan kesihatan negeri untuk menutup sekolah itu.
Dia berkata satu petisyen dalam talian yang menyeru penutupan sekolah itu akan dimulakan tidak lama lagi.
Kumar, bapa kepada dua anak itu, memberitahu FMT ramai ibu bapa berhenti menghantar anak mereka ke sekolah itu sejak minggu lalu kerana bimbang akan kemungkinan kes Covid-19 lain yang tidak dapat dikesan.
“Ibu bapa tidak gembira mengapa anak-anak kita masih perlu pergi sekolah. Apa yang kami cuba tegaskan adalah lebih baik kembali ke kelas dalam talian untuk elak kes Covid-19 merebak,” katanya.
Katanya, sekolah itu kekurangan tenaga pengajar dengan banyak yang diarahkan menjalani kuarantin dan beberapa kelas dibuat tanpa kehadiran guru.
Seorang lagi ibu, yang enggan dinamakan, berkata pelajar yang disahkan positif pada 15 April lalu itu hanya dikesan kerana ibu bapa secara sukarela menghantar anak mereka untuk menjalani ujian saringan.
Dia juga mendakwa tindakan sekolah berkenaan, yang cuba untuk memastikan isu itu tidak diketahui ramai, amat mengganggunya. Ibu bapa mula mengetahui mengenai kes pertama Covid-19 membabitkan guru sekolah melalui sumber lain dan bukannya dari sekolah.
Katanya, guru itu telah disahkan positif pada 9 April, tetapi mendakwa sekolah itu hanya mengetahui kes terbabit pada 12 April.
“Kami tahu pada Selasa malam (13 April), selepas mereka meminta murid yang duduk di barisan depan (dari kelas anaknya) untuk pulang dan jalani kuarantin. Pada Rabu pagi, mereka menghantar memo kepada semua pelajar untuk datang ke sekolah dengan seorang wakil ibu bapa, yang mana kami datang pada pagi Khamis.
“Saya harapkan mereka akan memberi memo penutupan sekolah bermula Isnin,” katanya.
Cubaan menghubungi pihak sekolah dan pejabat kesihatan daerah gagal. FMT turut menghubungi exco kesihatan negeri untuk memberikan komen.
Baru-baru ini dilaporkan jangkitan Covid-19 di sekolah, dengan beberapa kluster dikesan di sekolah dan institusi pendidikan sejak seminggu yang lalu.
Antaranya, SJK (C) Puay Chai 2 di Bandar Utama, Petaling Jaya ditutup sementara selepas kes positif melibatkan enam pelajar manakala SJK (C) Pin Hwa 1 di Shah Alam, yang berada di bawah pejabat kesihatan daerah sama dengan SMK Kota Kemuning, juga diarah tutup selepas tiga guru didapati positif Covid-19.