3 peniaga di Kelantan dikompaun RM50,000

Polis Kelantan memaklumkan pihaknya mengeluarkan kompaun RM50,000 terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan untuk meneliti semula perkara ini dengan memanggil semula pemilik premis yang dikenakan kompaun (OKK).

“Merujuk kepada kes tular di media sosial, pemilik gerai burger dikenakan kompaun RM 50,000 di mana pada masa yang sama pihak polis telah mengeluarkan tiga kompaun kepada pemilik premis kedai makan termasuk pemilik gerai burger seperti yang ditularkan.

“Bagaimanapun, Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mengambil pendekatan untuk meneliti semula perkara ini dengan membuka satu kertas siasatan dan akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK),”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang peniaga burger yang menjalankan perniagaannya di hadapan rumah telah dikompaun RM50,000 oleh pihak polis gara-gara beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Sementara itu, Shafien berkata pihaknya akan meneliti perkara ini untuk menawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Dalam perkembangan sama, Shafien berkata sebanyak 127 kompaun telah dikeluarkan kepada pihak yang tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi tempoh 16 April 2021 sehingga semalam 26 April 2021, sebanyak 127 kompaun yang telah dikeluarkan kepada pihak yang tidak mematuhi SOP,”katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/572389

COMMENTS

Wordpress (0)