Wakil PH dalam Khas Bebas Darurat saran parlimen bersidang seperti biasa

Tiga wakil Pakatan Harapan (PH) yang menganggotai jawatankuasa bebas khas mengenai darurat berpendirian, kerajaan wajar mengadakan sidang parlimen segera walaupun darurat masih berlangsung.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, wakil PH itu berkata jawatankuasa bebas tersebut – yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong – sudah mengadakan mesyuarat kali pertama pada 18 Feb lalu.

“Kami, ahli-ahli parlimen berpendirian bahawa persidangan parlimen seharusnya diadakan dalam masa terdekat walaupun darurat masih berkuat kuasa.

“Persidangan parlimen boleh diadakan dengan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seperti yang telah dilaksana sepanjang sidang parlimen pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan itu.

Ia ditandatangani ketiga-tiga ahli parlimen yang mewakili PH iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Pengarah Strategi Amanah Dzulkefly Ahmad.

Pada Jan lalu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan kepada permohonan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Ia didakwa sebagai langkah untuk kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.

Dengan berkuatkuasanya darurat itu perlembagaan dan parlimen digantung.

Langkah itu bukan saja dikecam pembangkang malah turut dikritik parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional seperti Umno.

Menurut wakil PH dalam jawatankuasa bebas khas itu, kebenaran untuk sidang parlimen diadakan penting agar segala agenda dan langkah-langkah membendung Covid-19 dapat dibahaskan.

Ia juga kata mereka boleh memastikan mekanisme semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat oleh pihak ekskutif dapat berfungsi.

“Keputusan untuk mengembalikan persidangan parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Justeru kata kenyataan itu mereka akan terus menyampaikan pandangan berkenaan secara tekal dalam mesyuarat akan datang jawatankuasa tersebut dan berharap ia dipersetujui bersama untuk menasihati Agong.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said melalui sepucuk surat kepada Peguam Negara, Idrus Harun mengatakan keputusan menggantung parlimen menunjukkan bahawa cabang legislatif telah dilumpuhkan.

Selain itu, sejumlah 90 ahli parlimen dari tujuh negara turut menggesa Agong dan perdana menteri membenarkan parlimen bersidang secepat mungkin.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/564001

COMMENTS

Wordpress (0)