Terkini !!! Ismail selesai angkat sumpah PM ke-9

Kabinet

Ismail selesai angkat sumpah PM ke-9.Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara, jam 2.30 petang tadi.

Sultan Abdullah memberi perkenan terhadap pelantikan itu yang selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

Semalam, Istana Negara dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri selepas 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkannya, sekali gus mendapat jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno dilantik sebagai perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Isnin lalu.

Ismail

Terdahulu, mesyuarat khas Raja-raja Melayu selesai selepas hampir dua jam dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menjadi tetamu diraja pertama berangkat meninggalkan Istana Negara petang semalam.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan pembentukan kerajaan dan pelantikan perdana menteri baharu, dipengerusikan Agong.

Ismail, 61, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu sambil mengekalkan portfolio Menteri Pertahanan sebelum pengunduran Muhyiddin yang hilang sokongan majoriti.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) itu sebelum ini pernah memegang jawatan menteri di beberapa kementerian di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada 2008, Ismail memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan setahun kemudian sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan di bawah kerajaan pimpinan Najib Razak.

Pada 2013, beliau memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2015.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/21/ismail-angkat-sumpah-pm-ke-9/

BACA: Dafi tampil pertahan ayah sendiri

CATEGORIES