Tarik semula PKPB, kongsikan data kepada penyelidik – Akademi Perubatan

Tarik semula PKPB, kongsikan data kepada penyelidik – Akademi Perubatan

Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menyarankan agar kerajaan menarik semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di semua negeri kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan ketika ini.

Menurut badan yang mewakili pakar perubatan itu, kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan alternatif lain dalam usaha memutuskan jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Kami menggesa kerajaan menjelaskan pendekatan sains di sebalik keputusan melaksanakan PKPB di Lembah Klang, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu, walaupun nilai R-naught (RO) dilihat bertambah baik.

“Kami juga menggesa kerajaan meningkatkan perkongsian data dengan para penyelidik, organisasi profesional kesihatan dan badan rasmi lain yang mungkin boleh menyokong mereka dalam usaha melawan COVID-19.

“Ketelusan bukan sahaja membolehkan para saintis memahami COVID-19 dengan lebih baik di Malaysia, tetapi juga akan memperkukuhkan kepercayaan masyarakat dan meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” menurut AMM dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, AMM menjelaskan, nilai RO atau kadar kebolehjangkitan yang merupakan metrik asas kepada keputusan kerajaan menguatkuasakan PKPB menurun daripada 2.2 pada awal September kepada 0.95 pada 9 November.

“Perubahan indikasi itu menunjukkan, walaupun kadar jangkitan agak tinggi masih dilihat di Sabah, Selangor serta Pulau Pinang, namun jangkitan dapat diatasi dengan baik dan tiada tanda-tanda peningkatan kes,” tambah AMM.

Jelas AMM lagi, berdasarkan kadar jangkitan 14 hari iaitu dari 21 Oktober sehingga 3 November, banyak negeri yang tidak seharuskan dikenakan PKP yang lebih ketat.

Berdasarkan statistik, Negeri Sembilan mencatatkan kadar jangkitan lebih tinggi berbanding kadar di peringkat nasional, sementara Kedah, Perak, Terengganu, Johor dan Melaka berada pada tahap yang agak rendah.

Sehubungan itu, AMM menegaskan, terdapat langkah lain untuk membendung dan mengurangkan penularan COVID-19 tanpa melaksanakan PKPB.
Justeru, AMM mendesak kerajaan untuk meneruskan strategi-strategi lain dan kembali dengan pelaksanaan PKP Pemulihan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan PKPB diperluaskan ke tujuh lagi negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan selama empat minggu, bermula 9 November hingga 6 Disember ini.

COMMENTS