Serikandi Bersatu harap sidang Parlimen tumpu isu kepentingan rakyat

Serikandi Bersatu harap sidang Parlimen tumpu isu kepentingan rakyat

Ahli Parlimen perlu meletakkan isu kepentingan rakyat, pemulihan ekonomi, pelan vaksin dan bersidang dalam mood bersama untuk memastikan negara berada kembali ke landasan yang sepatutnya jika sidang dewan diadakan dalam waktu terdekat.

Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembukaan sidang jika ada juga harus berlandaskan kembali kepada situasi negara yang sedang darurat dan tidak boleh menimbulkan usul yang melanggar Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Menurut beliau, usul itu termasuk memperuntukan sebarang pilihan raya tidak perlu diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

“Ia sebenarnya membuka proses semak dan imbang di antara kerajaan serta pembangkang yang mungkin menimbulkan beberapa krisis atau pertegangan yang jelas boleh diselesaikan jika ada persefahaman sesama sendiri.

“Walaupun begitu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh melihat kebenaran bersidang itu dalam skop yang lebih terbuka dan langkah menang-menang antara peranan Parlimen itu sendiri dengan fungsi pihak Eksekutif dan Kehakiman yang berjalan kini,” katanya dalam sidang video pada Khamis.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen kembali bersidang dalam tempoh darurat.

Menerusi ciapan di Twitter, Azalina merakamkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sentiasa menjadi pelindung rakyat dan penjaga Perlembagaan negara.

Dalam pada itu, kata Mas Ermieyati, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diumumkan baru-baru ini juga sudah merangkumi pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Beliau berkata, ia mungkin menjadi pelengkap kepada jawapan isu-isu semasa dan berorientasi rakyat yang mungkin akan dibincangkan di Parlimen.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Muhyiddin.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sidang-parlimen-tumpu-isu-kepentingan-rakyat-mas-ermieyati-284673