Pemimpin Pas sokong ambil tindakan undang-undang terhadap golongan antivaksin

Pemimpin Pas sokong ambil tindakan undang-undang terhadap golongan antivaksin

Pendakwah dan penceramah bebas, Dr Riduan Mohd Nor menyatakan sokongannya atas usaha kerajaan untuk mengkaji atau mengambil tindakan undang-undang ke atas golongan anti-vaksin.

Menurutnya, langkah tersebut dilihat relevan memandangkan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberi penerangan dan mendidik rakyat mengenai keperluan vaksin kurang mendapat sambutan sebelum ini.

Tambahnya, antara faktor mengapa terdapat segelintir rakyat tidak menjelmakan diri pada tarikh temu janji vaksin dos pertama yang ditetapkan sebelum ini adalah disebabkan wujudnya gelombang anti-vaksin.

Lebih malang, golongan anti-vaksin ini didalangi para asatizah dan pengkuliah-pengkuliah yang mempunyai penyokong tersendiri.

“Saya merasakan ada keperluan tindakan tegas (diambil), bahkan juga kita perlu menggandakan usaha memberi penerangan mengenai keperluannya.

“Contohnya perlu diviralkan di media sosial para ulama dan ilmuan terkenal Islam, menerima vaksin. Seperti tokoh-tokoh terkenal Islam, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, ulama-ulama daripada Al-Azhar yang menerima vaksin.

“Saya rasa pandangan-pandangan mainstream ini perlu di popularkan dalam masyarakat,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Selain itu, beliau turut menyarankan semua pihak cuba untuk memujuk para pengkuliah dan asatizah yang kurang bersetuju dengan vaksin supaya menukar pandangan dan perspektif mereka terhadap vaksin.

Hal ini kerana ia dibimbangi akan mempengaruhi pengikut atau penyokong mereka yang ramai.

“Bagi pihak ahli-ahli PAS sendiri, semenjak awal lagi, kita melihat bagaimana Tuan Guru Pesiden PAS yang mengambil vaksin dan menggerakkan kempen supaya Ahli PAS terima vaksin

“Malah, kita boleh lihat keberkesanan (vaksin) di Eropah apabila kadar vaksin yang tinggi menjadikan kehidupan rakyat mula bebas, boleh bergerak dan tidak terkongkong. Ini yang perlu dijelaskan kepada rakyat.

“Saya sokong tindakan tegas diambil kepada kelompok anti-vaksin ini. Semoga usaha kita berjaya untuk menggerakkan PICK ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah kerajaan yang sedang mengkaji kesesuaian dan kerelevanan mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan anti-vaksin di Malaysia yang di dapati menghasut orang ramai tidak menyokong PICK.

Berita Penuh :https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/04/saya-sokong-tindakan-undang-undang-ke-atas-anti-vaksin/