Orang mula bengang dengan moratorium ‘automatik’ yang tak ‘automatik’

Orang mula bengang dengan moratorium ‘automatik’ yang tak ‘automatik’

Malam tadi Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin menyebut tentang pemberian moratorium automatik berikutan perlaksanaan PKP penuh antara 1 hingga 14 Jun ini.

“Saya mendengar permintaan rakyat supaya kerajaan menimbang semula pemberian moratorium.

“Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium penuh selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan,” katanya dalam perutusan khas yang disampaikannya.

Sehubungan itu, tambah Mahiaddin lagi, para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan manfaat bantuan tersebut.

Dengan pemahaman yang mudah, moratorium yang diumumkan Mahiaddin itu hanya terhad untuk golongan B40 dan mereka yang terjejas pendapatan, kehilangan pekerjaan dan bukan menyeluruh seperti PKP 1.0 sebelum ini.

Golongan M40 bermakna tidak layak langsung menikmati moratorium kali ini.

Mengapa golongan M40 dipinggirkan, walhal ramai juga mereka ini yang terjejas pendapatan dan hilang pekerjaan perlaksanaan PKP?

Maka, kenapa ia disebut moratorium automatik, sedangkan langsung tidak automatik dan masih ada golongan yang terkecuali daripada menikmatinya?

Selain itu, disebut juga bahawa peminjam diberi pilihan sama ada mahu moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik sebnyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan.

Kenapa perlu diberi pilihan kalau ia disebut moratorium automatik?

Bukankah autimatik bermakna tiada pengecualian dan tiada pilihan?

Seterusnya, disebut juga oleh Mahiaddin, para peminjam perlu menghubungi bank masing-masing untuk memperolehi manfaat bantuan yang diumumkannya itu.

Sekali lagi, dengan peminjam perlu menghubungi bank, bermakna moratorium ini langsung tidak automatik.

Peminjam yang tidak menghubungi bank tidak akan memperolehi bantuan moratorium yang disebut automatik itu.

Kenapa kerajaan tidak melaksanakan moratorium automatik selama tiga bulan tanpa perlu peminjam berurusan dengan bank sebagaimana moratorium enam bulan yang diberikan pada PKP 1.0 dahulu?

Susah sangatkah mahu melakukannya?

Inikah bentuk kerajaan yang dikatakan prihatin kepada nasib rakyat?

Prihatin kepada rakyat atau prihatin kepada bank?

Akhirnya, walaupun disebut oleh Perdana Menteri sebagai moratorium automatik, berdasarkan sebahagian besar syarat yang diletakkan, ia bukanlah automatik sepenuhnya.

Hanya suku yang automatik, tetapi tiga suku lagi tidak automatik.

Mengaoa Mahiaddin tidak sebut saja moratorium kali ini sebagai moratorium tidak automatik?

Berita Penuh :https://shahbudindotcom.net/2021/06/01/moratorium-automatik-yang-tidak-automatik.html