Noh bidas menteri guna kuasa sesuka hati

Noh bidas menteri guna kuasa sesuka hati

Barisan menteri tidak sepatutnya menggunakan kuasa mereka dengan sesuka hati ketika menyelesaikan sesuatu perkara.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, menteri dan pegawai kerajaan mempunyai kuasa pentadbiran masing-masing dan isu yang timbul sewajarnya diselesaikan secara rundingan.

Beliau berkata, mengikut Akta Polis 1967 (Akta 344), sebarang peletakan jawatan atau persaraan anggota dalam tempoh perang atau darurat tidak dibolehkan melainkan atas syor Ketua Polis Negara sendiri.

“Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) pula ada bidang kuasanya sendiri. Jadi apabila masing-masing ada kuasa, kita mesti cari penyelesaian menerusi rundingan.

“Rakan-rakan menteri jangan ingat apabila mereka ada jawatan, mereka ‘powerful’, (sebab) pegawai kerajaan pun dilindungi undang-undang,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam pentadbiran agensi penguatkuasa itu.

Noh (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam program tersebut.
Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim dan Ibu Tunggal Parlimen Tanjong Karang, pada Sabtu.

Abdul Hamid sebelum ini mendedahkan campur tangan Hamzah melibatkan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Susulan itu, Abdul Hamid mencadangkan SPP diterajui secara bebas oleh bekas hakim atau ketua hakim negara pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Noh berkata, sebagai rakyat di negara ini, beliau kesal dengan isu yang berlaku tersebut.

“Apa yang penting sekarang ialah rundingan sebab kalau masing-masing nak tunjuk kuasa kesannya nanti tidak baik kepada negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Noh berkata, seramai 160 orang anak yatim dan ibu tunggal menerima sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Tambah beliau, pada tahun ini, pihaknya juga mensasarkan untuk memberi sumbangan kepada 453 anak yatim dan 2282 ibu tunggal di Parlimen berkenaan hasil pemberian tokoh korporat dan beberapa yayasan terlibat.
Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/136438/BERITA/Nasional/Menteri-jangan-guna-kuasa-sesuka-hati-Noh