Makkal Sakti bakal diberi kerusi bertanding guna logo BN.Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi akan memberikan tempat sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada calon-calon daripada Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, Makkal Sakti akan diberikan peluang untuk bertanding setelah diminta oleh parti itu dan atas kesetiaan selama 13 tahun menyokong BN.
“Jadikan Makkal Sakti sebagai aset. Saya merasakan apabila diminta, Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran tadi, untuk calon-calon daripada Makkal Sakti bertanding dalam PRU15 dan telah berbincang dengan rakan-rakan dalam BN, kita akan memberi tempat pada PRU15 dalam Parlimen atau DUN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti di Auditorium Umno, Menara Dato Onn.
Makkal Sakti, parti mewakili kaum India yang diasaskan oleh bekas pemimpin Pasukan Tindakan Hak Hindu (Hindraf) bukan sebahagian parti komponen dalam BN walaupun telah bertahun-tahun menyokong gabungan itu.
Sebelum Zahid berucap, Thanenthiran terdahulu dalam ucapannya telah meminta pengerusi BN itu memberikan peluang kepada calon-calon daripada parti Makkal Sakti bertanding pada PRU15.
Dalam pada itu, Zahid menegaskan BN mahu menjadi kerajaan semula dan merampas semua kerusi dalam PRU15 dan disebabkan itu, BN perlu menguatkan kedudukan gabungan parti itu.
“Di mata rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini mereka harapkan BN ambil alih kerajaan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Thanenthiran pada sidang media selepas perasmian itu berkata, pengumuman daripada Zahid untuk memberi peluang kepada calon Makkal Sakti bertanding pada PRU15 amat dinanti-nantikan sekian lamanya.
Beliau berkata, pengumuman itu memberi motivasi kepada Makkal Sakti yang sudah 13 tahun menunggu untuk diberi peluang bertanding bawah bendera BN.
Thanenthiran berkata, secara peribadi Makkal Sakti telah meminta untuk bertanding di empat kawasan Parlimen dan tujuh kawasan DUN, bagaimanapun terpulang kepada kepimpinan BN untuk memberi kawasan mana untuk calon-calon Makkal Sakti bertanding.
“Kawasan disasarkan empat negeri iaitu di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. Saya percaya parti-parti komponen khusus Umno, MCA, MIC dan daripada Sabah akan sokong kami,” katanya.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/19/makkal-sakti-diberi-tempat-bertanding-pru15-kata-zahid/