Kecoh video tular kononnya rampasan senjata LTTE, ini penjelasan Polis Selangor…

Kecoh video tular kononnya rampasan senjata LTTE, ini penjelasan Polis Selangor…

Polis Selangor menafikan sebuah klip video yang tular di media sosial konon pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis senjata dari gudang penyimpanan haram dan mempunyai kaitan dengan pengganas komunis serta kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata hasil penelitian pihaknya mendapati bahawa klip video itu dibuat semasa sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 30 Julai 2020 berkaitan kejayaan tangkapan terhadap penjual dan pembeli senapang dan pistol jenis ‘Airsoft’ yang telah diubah suai, manakala gambar rampasan senjata pula daripada sidang media IPK Kedah pada 2014.

“Perbuatan mengaitkan video klip sidang media polis Selangor dengan gambar rampasan senjata polis Kedah kemudiannya mendakwa rampasan tersebut mempunyai kaitan dengan pengganas komunis dan LTTE adalah satu perbuatan tidak berasas serta boleh mengakibatkan ketakutan dan menyebabkan ketenteraman awam tergugat.

“Susulan itu, polis Selangor telah membuat satu laporan polis berkaitan isu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook @Polis Selangor hari ini.

Tambah Arjunaidi, kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Arjunaidi turut menasihati orang ramai agar tidak membuat kesimpulan sendiri berkaitan sesuatu isu yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sesuatu berita dari sumber tidak tepat.

Polis Selangor nafi video tular rampasan senjata di gudang haram milik pengganas, LTTE

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/polis-selangor-nafi-video-tular-rampasan-senjata-di-gudang-haram-milik-pengganas-ltte-300381