JAS dedah punca mengapa banjir bewarna merah di Tampoi

JAS dedah punca mengapa banjir bewarna merah di Tampoi.Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjelaskan kejadian air banjir berwarna merah di Kampung Sri Serdang Baru, Tampoi di sini Khamis lalu berpunca daripada tumpahan sisa pewarna lama dari sebuah kilang tekstil berhampiran kampung berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata tumpahan itu dipercayai disebabkan hujan lebat dan struktur kilang itu yang tidak berbumbung, selain bekas atau beg penyimpanan pigmen warna sudah reput.

“Berdasarkan siasatan dan maklumat penduduk, air berwarna merah itu berpunca dari sebuah kilang tekstil usang. Pemilik kilang memaklumkan premis berkenaan wujud sejak 1940-an dengan keluasan 8.49 hektar dan tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti kerana menghentikan operasi pada 2000.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tumpahan dari bekas sisa pewarna lama yang ditinggalkan di dalam kawasan kilang terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

JAS

Beliau berkata, bagaimanapun ketika banjir mula surut sekitar jam 4.15 petang, air didapati tidak lagi berwarna merah.

Wan Abdul Latiff berkata, susulan itu JAS Negeri Johor mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) kepada pemilik kilang supaya kerja-kerja pembersihan dan pelupusan segera dilakukan.

“Pihak kilang telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memindahkan sisa tumpahan. Bangunan itu juga ditutup dengan kanvas sehingga kerja-kerja selesai,” katanya.

Khamis lalu akhbar melaporkan penduduk kampung berkenaan dikejutkan dengan kejadian banjir merah yang berbau seperti minyak dan dibimbangi menjejaskan kesihatan mereka.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/761752/air-banjir-merah-disebabkan-tumpahan-pewarna-kilang-tekstil-jas

BACA: Rentas negeri mungkin dibenarkan tak lama lagi – Khairy